24 July 2010

Post Istimewa: Taat Pada Ibu dan bapa





"Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri" (An-Nisa, 36)

Assalamualaikum warahmatullah...
Salam pertemuan sekali lagi sahabat-sahabat yang saya kasihi dan muliakan sekalian. Saya harap sahabat-sahabat ikhwah dan akhwat sihat dan sentiasa berada dalam pemeliharaanNYA, insyaAllah...Saya mulakan post kali ini dengan memetik perintah-perintah Allah sebagaimana yang di mafhumkanNYA di dalam surah An-Nisa, ayat 36, yang terdiri daripada:

1) Taat kepada Allah dan jangan menyengutukan Allah
2) Berbuat baik kepada kedua ibu bapa
3) Berbuat baik kepada kaum kerabat
4) Berbuat baik kepada anak-anak yatim
5) Berbuat baik kepada orang-orang miskin
6) Berbuat baik kepada jiran tetangga, dekat mahupun jauh
7) Berbuat baik kepada musafir.


Di antara semua perintah-perintah Allah ini, dapat kita lihat, selepas perintah taat kepada Allah, Allah memerintahkan kita supaya berbuat baik kepada ibu bapa. Maka, inilah tajuk yang akan saya bincangkan hari ini iaitu taat kepada ibu dan bapa.





Eksposisi: Ibu dan bapa di kurniakan kedudukan yang mulia oleh Allah.




"Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)."(Al-Isra', ayat 23)

Di dalam Al-Quranul Karim, banyak terdapat ayat-ayat yang menyentuh bagaimana harusnya seorang anak itu memuliakan ibu dan bapa. Bagaimana seorang anak itu harus memperlakukan ibu dan bapanya. Bagaimana seorang anak itu harus mengasihi ibu dan bapanya.

Saya tertarik untuk memetik sedikit tulisan dari sebuah buku karya Imam Abu Laits As-Samarqand bertajuk Tanbihul Ghafilin (Peringatan bagi orang yang lalai) di bawah tajuk Hak kedua ibu bapa. Imam As-Samarqand telah menyatakan bahawa,
"Andaikan Allah s.w.t. tidak menyebut kewajipan berbakti kepada kedua orang tua itu dalam al-quran, dan tidak ditekankan nescaya dapat dimengertikan oleh akal bahawa taat kepada kedua orang tua itu wajib, kerana itu diwajibkan seorang yang berakal harus mengerti kewajipannya terhadap kedua orang tuanya, lebih-lebih Allah s.w.t. telah menekan dalam semua kitab yang diturunkan iaitu Taurat, Injil, Zabur dan Al-Quran, juga telah diwahyukan kepada semua Nabi, Rasul bahawa redha Allah s.w.t. tergantung pada redha kedua orang tua dan murka Allah s.w.t. tergantung pada murka kedua ayah bonda."

Dari kata-kata beliau ini, dapat kita simpulkan bahawa Allah meletakkan ibu dan bapa itu pada satu kedudukan yang tinggi, di mana untuk kita mendapatkan redha Allah, selain dari kita menunaikan segala perintahNYA dan meninggalkan segala laranganNYA, kita juga harus mentaati ibu bapa dan mendapatkan redha mereka, selama mana perintah ibu dan bapa ini tidak bertentang dengan syarak.

Transisi: Siapakah itu bapa? Dan siapa pula ibu?

Jika kita mengambil masa bertanyakan pada sahabat-sahabat kita. Siapakah itu bapa? Dan siapakah itu ibu? Pastinya jawapan yang sering kita dengar adalah "bapa tu ayah la", "bapa tu orang yang kahwin dengan mak aku", "bapa tu orang yang dah ada anaklah", "bapa yang tanggung aku sampai aku besar", "Ibu menyisir rambutku, kemas selalu"(lirik lagu pun masuk jugak...apekah?) dan sebagainya. Sebenarnya, definisi seorang bapa dan seorang ibu adalah lebih dari itu.


Bapa sebagai pelindung.


(sekadar gambar hiasan)

Peranan seorang bapa adalah lebih besar dari apa yang sering kita fikirkan. Benar, seorang bapa bekerja mencari rezeki untuk keluarganya. Rela berpanas, menahan lapar dan juga dahaga. Tenaga di kerah selagi terdaya. Keringat yang jatuh tiada di kira. Biar dirinya susah, asalkan keluarganya itu bahagia. Keluarganya itu cukup semua. Keluarganya tiada meminta-minta. Biar dirinya bersengkang mata, jangan anak-anaknya mulut ternganga. Seorang bapa akan berusaha dan terus berusaha. Mencari rezeki yang halal, bersesuaian perintah yang Maha Esa. Di hatinya sentiasa berdoa, moga sakinah menghiasi keluarganya. Moga cinta dalam keluarganya akan subur sepanjang masa. Moga anak-anaknya menjadi orang yang berguna pada agama, bangsa dan negara.

Bapa juga bertindak sebagai seseorang yang melindungi kita. Jika cikgu mengherdik kita, bapalah orang yang pertama yang menunjukkan muka. Jika kita terjatuh lalu terluka, bapalah yang memapah kita. Jika kita memerlukan sesuatu, bapalah yang memberikan belanja. Bapa melindungi kita bukan setakat dalam hidupnya, selepas pemergiannya pun, masih ada sedikit perlindungan yang di tinggalkan buat anak-anaknya. Saya analogikan dengan situasi ini:



"Seorang anak muda. Bapanya seorang imam yang rajin menyebarkan risalah agama. Namun takdir menentukan, setiap yang hidup tiada kekal nyawanya. Rahmat yang Esa memanggil bapanya pulang menemui pencipta. Lalu, anak muda ini kehilangan dahan tempat berpaut. Kawan-kawan cuba menghiburkan. Lalu aktiviti-aktiviti lagha mula menjadi bualan. Jalan kecil di kampung itu tempat permainan. Merempit itu punya kelajuan yang bisa bikin kecanduan. Lalu minyak di pulas sekuat tangan. Memecah sunyi di senja yang kesyahduan. Orang-orang kampung hilang kesabaran. Lalu anak-anak muda kaki peleseran ini di tahan. Di lihat anak muda ini sebahagian dari tahanan. Lalu, si anak muda di lepaskan. Anak muda mula kebingungan. Kepada orang kampung anak muda menanyakan. "Aku kenangkan ayah kamu dulu baik dan rajin mengajar anak-anak kampung ke jalan kebenaran." Anak muda jadi terpempan. Hangat pipi terasa keinsafan. Kenangan atas ihsan seorang bapa yang telah berlalu pergi menjadi asbab sebuah perjalanan mencari Tuhan."
Lihat, bagaimana besar impak seorang bapa dalam kehidupan anak-anaknya.



Ibu pula.. sekadar wanita pertama yang membawa kita ke dunia?

(sekadar gambar hiasan)

Ibu adalah wanita yang melahirkan kita. Benar. Tapi, hanya itukah yang telah di lakukan oleh seorang ibu untuk kita sebagai anak-anaknya? Adakah sesuatu anak dalam kandungan itu tiba-tiba ada dan tugas ibu hanya untuk melahirkan? Tidak. Seorang ibu melalui pelbagai fasa sebelum tiba pada saat melahirkan kita.

Secara mudahnya, sebelum kita di lahirkan ke dunia, seorang ibu telah melalui berbagai-bagai kepayahan hanya untuk membolehkan kita menghirup udara. Pertamanya, seorang ibu telah mengandungkan kita. Seorang ibu telah menghadapi pelbagai perubahan dalam tempoh mengandungkan kita. Deria seorang ibu mula berubah. Alahan mula menjalankan peranannya. Pelbagai perubahan anatomi, fisiologi, psikologi dan emosi mula mengambil tempat. Sistem hormon akan ada perubahan. Sistem peredaran darah akan ada perubahannya. Sistem penghadaman akan ada perubahannya. (untuk mengetahui lebih lanjut tentang perubahan ini, bolehlah rujuk buku-buku berkait Obstetrik) Semua perubahan ini adalah adaptasi yang di lalui tubuh seorang ibu untuk menerima kehadiran kita yang semakin membesar dalam rahim yang di kurniakan Allah yang maha kuasa. Maka, layakkah kita mengatakan ibu merupakan wanita yang melahirkan kita tanpa menyebut pengorbanan yang besar ini?



Sewaktu seorang ibu itu hamil, Allah mengujinya. Wahnan ala wahnin. Kesusahan di atas kesusahan. Sudahlah seorang ibu itu harus kuat dalam menjaga kita yang di kandungnya. Membawa kita bersama-sama dengan abdomen yang membesar. Menahan berat tambahan yang kita sumbangkan ketika dalam kandungan. Allah menguji lagi dengan kesusahan yang lain seperti kesukaran ingin tidur. Pusing sini, anak tak selesa. Pusing sana, ibu tak selesa. Tidur seorang ibu terganggu sepanjang mengandungkan seorang anak. Tambah-tambah lagi apabila amnion sac menekan urinary bladder, maka si ibu akan mempunyai masalah peningkatan frekuensi membuang air kecil. Namun si ibu sabar. Semuanya ujian dari Allah. Dan ibu akan teguh menghadapi kesukaran-kesukaran ini untuk membolehkan anak yang di kandungnya melihat dunia.

Pada saat ingin melahirkan, seorang ibu hanya ada dua pilihan. (MCQ pun ada 4 pilihan A,B,C dan D) Seorang ibu hanya ada pilihan untuk hidup, atau kembali menemui Ilahi. Peluangnya 50-50. Tidak ada pilihan lain. Seorang lelaki pun tidak mungkin akan sanggup untuk melahirkan seorang anak walau di bayar 1 lakh rupees sekalipun kerana risiko yang ada. Tetapi seorang ibu itu berkorban. Seorang ibu sanggup menggadai nyawa untuk melahirkan kita. Atas sebab itulah Allah menakdirkan jika seorang ibu itu meninggal dunia saat melahirkan, maka ibu itu telah mati syahid. MasyaAllah, betapa Allah memuliakan seorang ibu. Dan sangat beruntunglah kita semua yang mempunyai ibu dan bakal menjadi ibu.

Ibu melahirkan kita (sekadar gambar hiasan)



Konflik: Anak-anak tidak menghargai ibu bapa?

(sekadar gambar hiasan)

Sangat sedih sekali apabila kita mendengar apa yang berlaku pada ibu bapa pada masa ini. Saban hari kita membaca dalam akhbar tentang kederhakaan anak-anak pada ibu bapanya. Ibu bapa di hantar ke rumah-rumah orang tua. Ibu bapa merayu anak-anak pulang di hari raya. Yang paling meleburkan hati saya hingga menitiskan air mata adalah apabila membaca tentang kejadian anak-anak yang sanggup membunuh ibu bapa mereka? Kerana apa? Kerana dadah yang nikmatnya sebentar cuma? Kerana jarum suntikan yang membahagiakan bagai di syurga? Saya merasa cukup terkilan, cukup marah dengan anak-anak yang tidak menghargai ibu dan bapa ini. Tidakkah kalian sedar bahawa kalian beruntung masih mempunyai ibu, masih mempunyai bapa? Ramai orang dalam dunia ini, hanya ,menghargai ibu bapanya di saat mereka telah pergi menemui pencipta. Mulalah tangan terketar-ketar, memeluk nisan yang berdiri hambar. Saat itu, walaupun anak itu membinakan pusara yang paling cantik dan paling indah dalam dunia sekalipun, tiada maknanya lagi. Si ibu telah berlalu pergi. Si bapa tiada mungkin akan kembali. Yang di tangisi sebenarnya hanyalah diri sendiri. Sesalan atas silap yang tiada sempat memohon di ampuni.

(sekadar gambar hiasan)




Lalu, bagaimana harus kita memuliakan ibu dan bapa?



Imam As-Samarqand menyatakan di dalam kitab tulisan beliau, Tanbihul Ghafilin bahawa hak ibu dan bapa terhadp seorang anak itu ada sepuluh perkara, antaranya:

  • Jika orang tua berhajat kepada makan harus diberi makan

  • Jika berhajat pada pakaian harus diberi pakaian. Rasulullah s.a.w. ketika menerangkan ayat (Yang berbunyi): "Wa sha hib huma fiddunnya ma'rufa. (Yang bermaksud): "Bantulah kedua orang tua didunia dengan baik, yakni supaya diberi makan jika lapar dan pakaian jika tidak berpakaian.

  • Jika berhajat bantuan harus dibantu

  • Menyambut panggilannya

  • Mentaati semua perintahnya asalakn tidak menyuruh berbuat maksiat dan ghibah (Mengasari orang)

  • Jika berbicara kepada keduanya harus lunak, lemah lembut dan sopan

  • Tidak boleh memanggil nama kecilnya (gelaran)

  • Jika berjalan harus dibelakangnya

  • Suka untuk orang tuanya apa yang ia suka bagi dirinya sendiri, dan membenci bagi keduanya apa yang tidak suka bagi dirinya sendiri

  • Mendoakan keduanya supaya mendapat pengampunan Allah s.w.t. dan rahmatNya Sebagaimana doa Nabi Nuh a.s. dan Nabi Ibrahim a.s. (Yang berbunyi): "Robbigh fir li waliwalidayya robbanagh fir li waliwalidayya wa lil muminin wal mu'minati yauma yaqumul hisab. (Yang bermaksud): "Ya Tuhan kami, ampunkan kami dan kedua ibu bapa kami dan semua kaum muslimin pada hari perhintungan hisab/hari kiamat.

Seorang anak itu harus melaksanakan semua ini menurut Imam As-Samarqand. Seorang anak harus cuba menyuapkan makanan kepada ibu dan bapanya, bukan sekadar pulang di hujung minggu dan menyediakan makanan, lalu di ajak ibu itu makan. Atau membuat majlis doa selamat, lalu menjemput ibu makan. Sedarlah, di waktu kita kecil dahulu ibu dan bapalah yang menyuapkan. Biarpun kita berlari-larian, khayal dengan permainan. Terdapat kisah di zaman nabi Musa, di mana Nabi Musa a.s memohon pada Allah agar di tunjukkan temannya di syurga. Lalu Allah menitahkannya menemui seorang lelaki di pasar. Setelah memperkenalkan diri, Nabi Musa di jemput bertandang ke rumahnya. Nabi Musa melihat lelaki itu biasa-biasa saja. Tiada yang istimewa pada dirinya. Lelaki itu meminta Nabi Musa tunggu sebentar di ruang tamu, sementara dia menyediakan sedikit hidangan di dapur. Nabi Musa menjadi hairan melihat lelaki ini kelihatan sibuk berulang alik dari dapur ke bilik. Rupa-rupanya, di dalam bilik itu ada ibu pemuda tadi. Si pemuda berulang alik memasak untuk Nabi Musa sambil menyuapkan makanan kepada ibunya di dalam bilik. Dan mulut si ibu tidak putus-putus berdoa saat si anak menyuapkan makanan ke mulutnya. "Ya Allah, jadikanlah anakku ini teman Nabi Musa di syurga."

Ada suatu kisah lagi mengenai seorang pemuda yang sangat mencintai ibunya. Uwais Al-Qarni namanya. Seorang sahabat di zaman Rasulullah yang tidak pernah bertemu Rasulullah, tetapi namanya ada di sebut Rasulullah kepada Saidina Abu Bakr dan Saidina Umar. Uwais Al-Qarni ini merupakan seorang anak yang sangat taat pada ibunya. Uwais ingin sekali bertemu Rasulullah, namun atas kecintaannya pada ibunya, Uwais telah dengan sabar menjaga ibunya. Hinggalah suatu hari ibunya bersetuju mengikuti Uwais untuk bertemu Rasulullah di Madinah. Uwais berasa cukup gembira apabila mendengar ibunya sanggup untuk mengikutinya.(sangat berbeza dengan anak-anak zaman ini, yang jika ibu atau bapa ingin mengikut mereka bertemu dengan rakan atau berjalan-jalan, pasti menarik muka masam dan memberikan seribu satu alasan) Maka Uwais berangkat bersama ibunya, dalam sebuah perjalanan yang cukup menguji mereka. Uwais menggendong ibunya, hinggalah tiba suatu saat di mana ibunya mengatakan nampaknya perjalanannya akan terhenti di situ. Dalam kesedihan, Uwais merelakan pemergian ibunya kembali menemui Ilahi. Lalu, Uwais meneruskan perjalanannya menuju ke Madinah. Sebaik tiba, di tanyakannya kepada orang ramai, di manakah Rasulullah kerana Uwais terlalu ingin menemui baginda. Orang ramai menyatakan kepada Uwais bahawa Rasulullah telah wafat sebelum Uwais tiba. Uwais menangis teresak-esak. Kebetulan Umar dan Abu Bakr melalui kawasan itu, lalu bertanyakan apa yang terjadi. Mendengarkan bahawa pemuda yang menangis itu adalah Uwais Al-Qarni, kedua-dua khalifah Islam ini segera meminta agar pemuda itu mendoakan mereka semua. Uwais menjadi hairan. Lalu Umar menceritakan apa yang telah di katakan oleh Rasulullah kepada mereka, bahawa selepas kewafatan baginda, akan datang seorang pemuda bernama Uwais Al-Qarni, dan sangat makbul doanya kerana ketaatannya kepada ibunya. Mohonlah padanya untuk mendoakan kalian. Umar dan Abu Bakr berkata kepada Uwais;

"Kamu tidak dikenali oleh penduduk dunia...namun namamu harum di kalangan penduduk langit"


Konklusi: Biar nama tidak di kenali penduduk dunia...namun biarlah ianya harum di kalangan penduduk langit



Ibu dan bapa merupakan satu lagi pinjaman Allah kepada kita. Sudah sifat sesuatu yang di pinjam, pasti akan tiba waktu di mana pinjaman akan di ambil semula. Sebagai seorang anak, marilah kita berusaha sebaiknya untuk berbakti pada ibu dan bapa sementara kesempatan masih ada. Janganlah kita menanti hingga ke saat-saat akhir untuk menunjukkan kasih sayang kita kepada ibu bapa. Ibu dan bapa membesarkan dan menjaga kita dengan penuh kasih sayang hingga kita mampu berpijak sendiri di atas bumi ini, maka begitulah juga selayaknya kita menjaga dan mencurahkan kasih sayang kita kepada mereka. Memuliakan ibu dan bapa janganlah bermusim, berusahalah agar kita mampu melakukannya sepanjang masa. Marilah kita berusaha untuk mencontohi Uwais Al-Qarni, yang tidak di kenali penduduk dunia, namun namanya harum di kalangan penduduk langit kerana ketaatan dan kasih sayangnya pada seorang ibu.


Nota sisi

Sebenarnya, saya menjadikan post ini sebagai satu nukilan istimewa sempena memperingati pemergian arwah ibu saya, Nor Amna binti Ibrahim, yang pada hari ini, 24 Julai 2010, telah genap 11 tahun kembali menemui yang Esa, sebagaimana yang pernah saya coretkan di sini. Mama, dah 11 tahun berlalu. Dan telah 11 tahun ika menempuhi hidup tanpa mama di sisi. Semoga rahmat Allah sentiasa bersama-sama mama. Ika akan sentiasa doakan mama. InsyaAllah, semoga kita akan bertemu kembali suatu hari nanti. Dan itu adalah sesuatu yang pasti.

Al-fatihah buat arwah Nor Amna Binti Ibrahim (9 Jan 1955 - 24 Julai 1999), yang telah 10 tahun meninggalkan sisi ini ( 24 Julai 1999 - 24 Julai 2010).




Semoga rahmat dan perlindungan Allah sentiasa bersama-sama roh arwah, insyaAllah.


Sekadar titipan seorang hamba, di ilhamkan yang Esa, moga bermanfaat buat semua
Semoga rahmat dan perlindungan Allah mengiringi setiap jejak langkahan kita, insyaAllah..
Wassalam..

2 comments:

farrafarhanna said...

ammal..
takziah..
we share the same stories..
cuma awk ibu..saya abah..
al-fatihah..

Raihanna said...

al fatihah...
takziah...
selepas ni mesti ibu awak bangga dengan kejayaan awak..
insyallah...