Al-Dzulfiqar

Sekadar coretan seorang hamba

Assalamualaikum warahmatullah..

Saya pohonkan kesejahteraan juga pemeliharaan Allah kepada sahabat sekalian, akhi serta ukhti yang masih sudi menjenguk teratak blog ini. Moga-moga, sahabat-sahabat semua yang juga merupakan saudara-saudara saya sentiasa berada dalam tenang dan damai titipanNYA.

Ingin saya memohon maaf. Nampaknya, terlalu lama saya meninggalkan teratak Al-Dzulfiqar ini. Dari bermulanya Ramadhan Al-Karim, sehinggalah telah tamat pun Syawal. Kelihatannya saya terlalu hanyut dengan masa. Begitu banyak perkara telah menghalang saya dari menitipkan sesuatu di blog ini. Dari peperiksaan, perpindahan rumah- membungkus dan menyusun atur barangan, dan berbagai-bagai lagi. Sungguh, terasa bagai sukar pada mulanya, tapi terasa lebih manis apabila memikirkan bahawa setiap yang mendatang adalah kasih sayang Allah pada kita. Semoga Allah sentiasa merahmati kita semua, dan tidak memalingkan pandanganNYA dari kita, insyaAllah.=)

InsyaAllah, pada 24 Oktober ini, akan bermula lembaran baru dalam hidup saya. Ooops, bukan. Bukan. Bukan lembaran baru yang beristilahkan hidup berdua ya.=) Lembaran baru dalam konteks, berlaku sedikit penstrukturan semula dalam silibus pelajaran kami di sini, dan insyaAllah pada tarikh berkenaan, kami akan memulakan tahun ke 4 dalam bidang MBBS ini.

Jika di kenang-kenangkan kembali perjalanan hidup sebelum tiba ke fasa ini, bagaikan terkesima melihatkan betapa cantiknya perjalanan hidup yang di atur oleh Allah. Benarlah bagai yang di kata, kadangkala kita memohon pada Allah untuk sesuatu yang kita inginkan, tetapi DIA tidak memberikan apa yang kita mahu, sebaliknya memberikan sesuatu yang kita perlu.

Eksposisi: Perancangan manusia dan perancangan Allah.



Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu. (At-Thalaq, 3)

Benar. Manusia merancang. Allah merancang. Dan sesungguhnya perancangan Allah itu adalah perancangan yang terbaik. Kita selalu mengharapkan sesuatu itu, apabila ia berlaku, merupakan sesuatu yang terbaik yang berlaku dalam hidup kita. Saya mengambil contoh perkara yang boleh kita saksikan dalam kehidupan sehari-hari.



"Ahmad Ikrimah dan Radhiyunnah Safih. Pasangan dua sejoli yang telah bertunang semenjak satu setengah tahun yang lalu. Semenjak tarikh pertunangan itu, mereka berdua telah merancang dengan teliti majlis perkahwinan yang akan di langsungkan nanti. Segala faktor di ambil kira. Cuaca, persekitaran, kelapangan, latitud, longitud (okay, ini exaggerated =P). Ketika hari yang di nantikan tiba, bersemayamlah kedua mempelai di atas pelamin kerang yang ditempah khas semenjak sekian lama. Tetamu yang datang, kesemuanya memuji, akan mempelai yang tampak berseri. Majlis kelihatan berjalan bagai yang di rancangkan. Tiba-tiba, takdir Allah, langit menjadi gelap. Seri pengantin di muka menjadi malap. Di dalam hati, penuh mengharap. "Bukankah sekarang bukan musimnya?" "Mengapa hujan datang kunjung tiba?" Titis demi titis air turun membasahi bumi. Mengisi periuk-periuk yang tersedia untuk menjamu seisi. Serentak dengan turunnya air mata membasahi pipi pengantin dua sejoli."

Dalam situasi di atas, dapat kita lihat, betapa Ahmad Ikrimah dan juga Radhiyunnah Safih, telah dengan telitinya, menggunakan tempoh satu setengah tahun pertunangan mereka, untuk merancang perjalanan majlis perkahwinan yang di nantikan. Namun, mereka merancang, Allah juga merancang. Qada' dan Qadar Allah, meskipun mereka telah merancang tarikh pada ketika di jangkakan cuaca baik untuk penyatuan dua hati, hujan tetap turun mengikut perancangan dan ketentuan Ilahi. Namun, kita harus bersikap husnuzon. Ada rahsia dan hikmah yang Allah sembunyikan pada setiap sesuatu kejadian.

Dalam hidup saya, pola hidup saya berubah pada saat ibunda tercinta pergi menemui Ilahi. Ketika saya mengatakan pada diri, hidup ini haruslah menjadi sesuatu yang bererti, dan menjadi sesuatu yang memberi erti, maka ketika itu saya telah menetapkan di dalam hati. Menjadi doktor bukanlah sesuatu yang di citakan ketika diri masih hingusan sebenarnya. Ia bermula apabila hidup saya berubah tanpa ibu di sisi. Saya merasakan tidak seharusnya ada anak-anak lain merasakan bagaimana yang saya rasakan ketika itu, walaupun sebenarnya segala yang berlaku itu adalah ketentuan Allah. Maka dari situ bermula segalanya. Saya cuba sedaya upaya untuk menjadi yang terbaik dalam setiap yang saya lakukan. Tujuan ketika itu adalah satu, apabila masuk ke universiti, haruslah mendapat bidang yang di buru. Ketika itu dalam fikiran saya ada satu sahaja. Medic. Medic. Medic. Walaubagaimana sekalipun, saya harus mendapatkannya. Takdir Allah, keputusan SPM saya ada sedikit kekurangannya. 9A dan 1B sedikit menyukarkan perjalanan saya kelihatannya. Namun saya masih meletakkan harapan. Dalam permohonan matriks, Pusat Asasi Sains Universiti Malaya(PASUM) menjadi pilihan pertama. Dalam borang UPU, matrik perubatan di UIA di letakkan sebagai pilihan utama. InsyaAllah dapat. InsyaAllah dapat. Begitulah bisik hati kecil saya. Pada ketika keputusan permohonan di keluarkan, saya menjadi terpempan. Permohonan matriks, bakal mencampakkan saya ke matriks kuala pilah di negeri sembilan yang bagi saya agak sukar untuk menjalani kehidupan harian. Lalu, tawaran itu saya tolak, menantikan jawapan dari permohonan UPU. Apabila keputusannya keluar, saya menjadi tersentak. Tiada bayang perkataan matrikulasi perubatan di UIA. Yang ada, perkataan diploma. Universitinya UiTM. Bidangnya teknologi makmal perubatan. Jujur, ketika itu saya merasa sangat kecewa. Apakah bintang sudah tidak lagi bercahaya? Segala perancangan selama ini, bagaikan hilang di telan kedinginan malam.

Perancangan tidak menjadi.... Allah itu zalim?

Seringkali, apabila sesuatu itu tidak seperti yang di rancangkan, kita akan mula menyalahkan Tuhan. "Tuhan.. kenapa semuanya berakhir begini??" "Tidak, ini semua tidak seharusnya terjadi!!!" Ini merupakan antara ayat-ayat yang biasa kita dengar di tuturkan dalam drama-drama melayu tipikal tatkala Tuhan di salahkan apabila yang terjadi tidak mengikut perancangan. Namun, pernahkah kita terfikir? Adakah, apabila perancangan kita itu tidak menjadi, ianya menjadi satu kebaikan atau keburukan terhadap kita?



"Terpengaruh dengan budaya barat, Salizi ingin mencuba apa yang dilihatnya melalui filem satu warna. Namun, dia nyata berhati-hati. Jika dia ingin mencuba, langkah keselamatan harus di ambil kira. Sarung polyethylene harus di beli, supaya tidak berlaku kesilapan menghamili. Langkah di atur rapi. Barang tujuan ada di farmasi. Dengan cermat dan berhati-hati. Pandangan tertancap pada kotak berwarna warni. Senyuman mula terukir di pipi. Terasa begitu lapang di hati. Tiba-tiba langkahan terhenti. Peluh dingin mengalir di dahi. Bahu ditepuk dari sisi kiri. "Mengapa kamu tidak berada di sekolah sekarang ini, Salizi?" Rupanya guru matematiknya ada sekali. Dari awal dia memerhati. Mata patahlah niat buruk di hati. Leteran ibu dan bapa pula yang harus di hadapi."

Contoh ini, bukanlah contoh yang selalu berlaku dalam masyarakat kita. Tetapi, yang penting, kita ingin menyentuh dari konteks apabila sesuatu perancangan itu tidak menjadi, adakah Allah itu zalim? Dari situasi di atas, saya yakin sahabat semua pasti dapat mengagak jika perancangan Salizi berjaya, bagaimanakah mungkin kesudahan di akhir cerita. Dalam situasi ini, nyatalah, apabila Allah menggagalkan perancangan Salizi, Allah sebenarnya telah melindungi dia dari terjebak ke lubuk maksiat yang lebih besar (kerana dia sendiri merupakan penonton filem satu warna). Maka, sesungguhnya ada hikmah apabila Allah membenarkan dan tidak membenarkan sesuatu itu berlaku.

Dari konteks kehidupan saya, ketika mula-mula di tawarkan program Diploma Teknologi Makmal Perubatan di UiTM, saya merasakan Allah telah berlaku zalim pada saya. Saya terasa sangat berat untuk meneruskan program yang ada itu, sehinggalah untuk menyenangkan hati saya, ayah saya telah membawa saya ke fakulti sains kesihatan uitm terlebih dahulu sebelum saya mendaftar sebagai pelajar uitm lagi pun. Di sana, kami berjumpa dengan ketua program MLT, Pn Siti Nazrina binti Camalxaman, dan soalan pertama saya adalah, apakah ada peluang untuk mendapatkan bidang mbbs jika saya menerima tawaran membuat diploma ini. Alhamdulillah, Pn Siti Nazrina merupakan seorang yang peramah dan pandai mengambil hati (time kasih cik ina=D ). Beliau memberitahu saya bahawa peluang itu ada, jika saya mampu menghasilkan kejayaan yang cemerlang sepanjang berada dalam pengajian diploma ini. Ketika itu, hati saya terasa sedikit lega. Peluang masih ada. Oleh itu, apa yang ada tidak harus di sia-sia. Saya akui, zaman diploma adalah antara zaman di mana saya cukup bersemangat dan gigih belajar. (sekarang sudah berkurang sedikit, mungkinkah faktor usia yang semakin meningkat?lol) Dan mungkin salah satu hikmah saya mendapat tawaran membuat diploma, adalah saya di pertemukan dengan seseorang dalam jangka masa tiga tahun itu. Perasaan berbunga-bunga itu mula berputik. Ya, mungkin ini adalah yang pertama kali saya benar-benar merasakan kelainan apabila melihat seseorang. Saya menemukan seseorang yang saya rasakan mungkin sesuai untuk menjadi teman hidup saya. Namun, ketentuan Allah. Mungkin hadirnya adalah dengan tujuan untuk mengajar saya akan erti kehidupan. Tiada apa yang berlaku antara kami meskipun saya berterusan menyimpan perasaan terhadap dia hinggalah beberapa tahun selepas tamat diploma. Dan, mungkin, kerana perasaan saya yang tebal terhadap dia, telah menyebabkan saya yang tidak pernah aktif pun memegang jawatan ketika sekolah menengah, secara tiba-tiba boleh memegang tiga jawatan serentak. Sebagai Ketua Exco Akademik Persatuan teknologi makmal perubatan uitm, sebagai Exco Sahsiah, Disiplin dan Keselamatan di kolej kediaman UiTM Alamanda dan juga Pegawai Latihan dan Sumber Manusia PBSM UiTM Shah Alam. Pada masa yang sama, saya juga merupakan class representative dalam kelas saya. Alhamdulillah, saya di kurniakan rezeki Allah, mampu mendapat keputusan yang agak baik walaupun usaha tidak seberapa, sempatlah mendapatkan lima kali anugerah dekan dari enam semester yang ada. Maka, pada saat Allah menggelincirkan saya dari perancangan hidup saya yang asal, DIA telah menggantikan saya dengan banyak perkara yang jauh lebih baik. Sesungguhnya manusia merancang. Allah juga merancang. Dan perancangan Allah adalah sebaik-baik perancangan.

Ketentuan Allah... adalah perancangan terbaik untuk setiap manusia.

Setiap dari kita tidak mampu menjangka apakah yang mungkin berlaku minggu hadapan, esok, malah sepuluh saat dari sekarang, kerana sesungguhnya semua itu merupakan rahsia Allah. Kita tidak punya daya untuk mengetahui atau mengagak sekalipun masa yang akan mendatang. Begitulah cantiknya ketentuan Allah. Apabila kita tidak mengetahui apa yang akan berlaku, maka kita akan memanfaatkan setiap detik yang ada untuk menjadikan hidup ini bermakna. Di dalam kisah epik barat, The Pirates of Carribean 5, Captain Jack Sparrow di tanya mengapa di tidak mengambil air dari the Fountain of Youth untuk dirinya. (okay, terdapat unsur khurafat yang amat dalam cerita ini kerana semua yang hidup pasti akan merasai mati, kullu nafsin za iqatilmaut). Dia mengatakan itulah kecantikan hidup kerana kita tidak pernah tahu apa akan terjadi, bila dan di mana.


"Ahmad Ikrimah dan Radhiyunnah Safih. Pasangan dua sejoli yang telah bertunang semenjak satu setengah tahun yang lalu. Semenjak tarikh pertunangan itu, mereka berdua telah merancang dengan teliti majlis perkahwinan yang akan di langsungkan nanti. Segala faktor di ambil kira. Cuaca, persekitaran, kelapangan, latitud, longitud (okay, ini exaggerated =P). Ketika hari yang di nantikan tiba, bersemayamlah kedua mempelai di atas pelamin kerang yang ditempah khas semenjak sekian lama. Tetamu yang datang, kesemuanya memuji, akan mempelai yang tampak berseri. Majlis kelihatan berjalan bagai yang di rancangkan. Tiba-tiba, takdir Allah, langit menjadi gelap. Seri pengantin di muka menjadi malap. Di dalam hati, penuh mengharap. "Bukankah sekarang bukan musimnya?" "Mengapa hujan datang kunjung tiba?" Titis demi titis air turun membasahi bumi. Mengisi periuk-periuk yang tersedia untuk menjamu seisi. Serentak dengan turunnya air mata membasahi pipi pengantin dua sejoli. Kedua-duanya runsing. Apa akan menjadi buah mulut tetamu yang hadir membanjiri. Lalu majlis di tangguhkan ke lain hari. Di malam itu, pasangan mempelai tersentak. Perkhabaran yang di terima membuatkan rambut Ahmad Ikrimah terpacak. Perihal nasib salah seorang tukang masak. Di masukkan ke wad kini kerana keracunan makanan. Makanan untuk majlis perkahwinan di syaki menjadi penyebab keadaan. Di hati mereka, lafaz syukur tidak putus-putus di tuturkan. Jika tiada datangnya hujan. Pastilah ramai tetamu menikmati juadah hidangan. Dan semuanya boleh saja menjadi mangsa keadaan. Dan perkahwinan mereka akan menjadi bualan dan umpatan, zaman-berzaman."



Sebaik sahaja hampir ke penghujung zaman diploma saya, saya yang masih kekal dengan harapan ingin menyambung pelajaran ke bidang perubatan, sudah tidak sabar-sabar lagi untuk memohon. Harapannya dapat menyambung pelajaran di UiTM juga. Tetapi pada waktu itu harapan saya sudah terasa seakan sangat tipis, kerana diberitakan dari program diploma ingin menyambung ke ijazah perubatan, hanya ada satu tempat diperuntukan, dan satu tempat itu harus di tandingi antara tiga kursus; diploma teknologi makmal perubatan, diploma mikrobiologi dan juga diploma sains. Namun saya cuba memujuk hati, insyaAllah dapat, insyaAllah dapat. Pada ketika kemasukan hujung tahun UiTM di buka, saya tidak memohon. Fikir saya, program perubatan, pastilah kemasukannya adalah di pertengahan tahun. Namun, ternyata saya silap. Apabila permohonan kemasukan pertengahan tahun di buka, kursus perubatan tidak di tawarkan. Hati agak remuk dan jiwa agak berkecamuk. Perancangan saya masih tidak berjalan sebagaimana yang di harapkan. Ketika itu, masalah dengan perasaan dan kehidupan membuatkan saya terasa sangat buntu. Penyelesaian: mungkin harus ke luar negara. Pada waktu itu, Indonesia menjadi pilihan utama kerana mendapat panggilan dari fakulti mengatakan ada tawaran untuk sesi temuduga ke Universitas Hasanudin di sana. Borang di ambil tetapi kelihatan prosesnya agak sukar. Dalam mengevaluasi sama ada perlu atau tidak menerima tawaran itu, program untuk pelajar akhir tahun UiTM, Success As A Graduate(SAAG) mengambil tempat. Untuk bergraduasi, semua pelajar wajib menghadiri. Ketika saya pergi, kebetulan satu slot diberikan kepada seorang dekan dari universiti MSU, Prof. Dr Hasbi. Prof Dr Hasbi menerangkan bahawa MSU menawarkan kursus perubatan. Tetapi di India, bukan di universiti tempatan. Saya sekadar mengisi borang yang di agih-agihkan. Belum pernah terfikir ingin ke India. Mungkin harus mengambil peluang ke Indonesia, atau menunggu permohonan kemasukan hujung tahun UiTM di buka. Kepala terasa sangat runsing pada masa itu. Pada ketika it, saya telahpun memulakan kerjaya sebagai seorang Junior Eksekutif di Gribbles Pathology Lab sebaik sahaja tamat latihan klinikal di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru. Untuk tidak menyesakkan kepala, saya menumpukan sepenuhnya kepada kerja. Saya cuba tidak memikirkan lagi impian saya. Mungkin harapan saya memang tidak akan tercapai selamanya. Namun Allah itu adil. Dalam saya begitu sibuk di tempat kerja, saya mendapat panggilan dari pihak MSU. Borang yang saya isi secara bersahaja sewaktu program SAAG UiTM dahulu telah di proses, dan saya di minta untuk hadir menduduki ujian kemasukan. Sewaktu itu saya mula berbelah bahagi semula. Teruskan, atau hentikan sahaja impian? Saya membuat istikharah, memohon petunjuk dar Allah. Selama tiga hari, tiada satu pun petunjuk yang saya dapati. Jadi, saya rasa harus di teruskan sahaja. Dapat atau tidak, itu belakang cerita. Maka, setelah menemui Mr Fong dan Cik Ila di MSU, saya di beritahu ujian kemasukan itu tahap kesukarannya sama seperti A level. Terasa sedikit gentar kerana subjek untuk ujian kemasukan adalah Kimia, Biologi, Fizik dan Matematik. Matematik insyaAllah tiada masalah kerana saya masih melakukan pengiraan setiap hari. Tetapi Fizik, Kimia dan Biologi, itu semua telah lama di tinggalkan kerana dalam kursus MLT sendiri hampir tidak ada subjek-subjek ini. Akhirnya saya serahkan kepada Allah. Saya ke kedai buku membeli buku rujukan tingkatan 5 untuk tiga subjek yang telah lama saya tinggalkan, termasuk juga buku matematik tambahan. Saya meminjam buku calculus matrikulasi untuk turut di buat rujukan. Jadi bermulalah kisah di tempat kerja. Sambil bekerja, sambil saya membaca buku yang ada. Ketika itu saya amat suka bekerja di waktu malam, kerana di waktu malam bekerja seorang sahaja, jadi senang ingin mengulangkaji apa yang kini telah di lupai. Hari peperiksaan pun tiba. Saya pun pergi dengan rasa yang agak berdebar-debar. Kertas matematiknya mudah, Dapat di selesaikan tanpa payah. Apabila kertas lain bermula, kesukaran itu mula di rasa. Habis satu paper, semua di benarkan rehat sebentar. Saya masih ingat calon-calon lain yang turut mengambil peperiksaan berbincang sesama mereka setiap kali tamat suatu kertas. Saya terasa ingin menyertai, tetapi membatalkan niat saya kerana banyak yang saya sudah tidak tahu, terasa tidak akan menyumbang pun jika menyertai mereka di situ. Serahkan pada Allah, kata hati yang seakan gundah. Alhamdulillah. Tidak lama kemudian mendapat panggilan. Saya telah lulus ujian kemasukan. Selepas itu ada sesi temuduga untuk mendapatkan penaja. Saya cukup bersyukur kerana hampir semuanya di uruskan oleh pihak universiti MSU. Dalam menanti kelulusan permohonan tajaan, saya menghantar surat meletak jawatan setelah bekerja selama hampir enam bulan. Nampaknya nama Dzul tidak lagi akan menjadi sebutan di sana. (nama Ammal tidak di gunakan ketika saya bekerja kerana bos saya, Mr Kamalanathan, di panggil dengan nama Mr Kamal. Maka saya tidak menggunakan nama Ammal untuk mengelakkan kekeliruan). Setelah semua persiapan selesai, saya akhirnya menjejak bumi India pada 22 Oktober 2008.

Konklusi: Allah sebaik-baik perancang

Begitu cantiknya perjalanan hidup yang di atur oleh Allah. Apabila mula-mula tiba dahulu, memang terasa sukarnya apabila berada di jalan kursus perubatan. Tahun pertama keyakinan seakan goyah sedikit, mampukah untuk meneruskan sedang tahun pertama pun sudah amat memeritkan. Alhamdulillah. Selesai tahun pertama, di tahun kedua, ada empat subjek utama, Mikrobiologi, Patologi, Perubatan Forensik dan juga Farmakologi. Di antara keempatnya, Mikrobiologi dan Patologi di katakan antara yang sukar. Subhanallah. Subhanallah. Subhanallah. Maha suci Allah. Kini barulah saya faham perancangan yang DIA aturkan buat saya. Dua subjek yang sukar ini, tidak terasa kesukarannya kerana asasnya saya telah ada ketika membuat program diploma dahulu. Kadangkala tidak membaca pun sebelum ke kelas, tapi dapat menjawab apabila pengajar mengeluarkan soalan. Sebelum peperiksaan, sempat membaca hanya satu per lapan dari topik yang di ajarkan, namun Alhamdulillah, markah yang di dapati agak memuaskan. Begitulah cantik sekali perancangan Tuhan. Yang tidak mungkin kita sebagai makhluknya dapat fikirkan, ketika kita baru berada di permulaan jalan.

Kini, setelah masuk ke tahun ke tiga, berlaku penstrukturan semula dan tahun ke empat akan bermula. Jika di fikirkan apa yang telah berlaku di hari-hari semalam, saya hanya mampu tersenyum. Perjalanan hidup terasa amat manisnya, terutama apabila kita sentiasa sedar bahawa Allah sentiasa menyayangi kita.

Sahabat-sahabat yang saya sayangi sekalian,
Apabila sesuatu yang sahabat inginkan tidak menjadi seperti yang di harapkan, janganlah dengan mudah menyalahkan takdir tuhan. Sesungguhnya Allah itu maha mengetahui, dan DIA lah sebaik-baik perancang. Mungkin tidak kita sedar dan menyesali masa lalu. Tetapi, yakinlah. Apa juga yang berlaku pada masa yang lalu, itulah yang membentuk siapa juga kita pada hari ini.
Jangan biarkan keyakinan pada Tuhan terpadam oleh bisikan dan hasutan syaitan. Kini, saya tinggal dua tahun lagi untuk menamatkan pengajian. Doakan saya ye, sahabat-sahabat semua.(^_________^)


Nota kaki: Tahniah saya ucapkan kepada senior-senior batch pertama yang telah menamatkan pengajian mereka dengan jayanya. Selamat berkhidmat dan selamat memulakan kerjaya dalam bidang kedoktoran. Jangan lupakan kami yang insyaAllah akan mengikut jejak kalian tidak lama lagi=)

Sekadar coretan seorang hamba.
Semoga rahmat dan perlindungan Allah sentiasa mengiringi setiap jejak langkahan kita, insyaAllah.
Wassalam.

7 comments:

hidayah bahar said...

assalammualaikum. alhamdulillah, saya menjadi orang yang bertuah untuk membaca entri ni. terima kasih ya akhi :) nama saya hidayah. saya lepasan spm, dan result yang kurang memuaskan dalam tangan saya. mula mula, saya ni memang laa bukan peminat perubatan atau yang seangkatan dengannya. saya tak terfikir langsung apa apa berkaitan perubatan. jadi, nak dijadikan cerita, pakcik saya yang merupakn pengarah uitm, datang ke rumah saya dan mencadangkan agar saya mengambil course yang saya tak pernah dengar pun sebelum ini yakni teknologi makmal perubatan ni. saya sangat risaukan keadaan saya di uitm nanti jik ditakdirkan untuk dapat course ni nati. adakah saya mampu survive? dan, adakah course ini, membolehkan saya untuk ambil course farmasi untuk degree nanti? harap akhi dapat bantu saya. jazakaallahu khairan!:)

Al-Dzulfiqar said...

waalaikumsalam warahmatullah..

pertamanya, syukran saya ucapkan kepada ukhti kerana sudi melawat laman yang banyak kurangnya ini.

alhamdulillah, tahniah saya ucapkan kerana kelihatannya ukhti telah mula mempunyai minat dalam aliran perubatan, terutamanya dalam bidang farmasi.

insyaAllah, berdasarkan pengalaman saya menghabiskan kursus teknologi makmal perubatan di uitm dulu, sesiapa juga boleh survive dalam menghadapi kursus ini. termasuk juga ukhti, asalkan ukhti sanggup berusaha kuat sedikit dan sentiasa istiqamah sepanjang pengajian. alhamdulillah, di uitm, kebanyakan pensyarahnya baik-baik dan sentiasa sedia membantu. jadi, asalkan ukhti mempunyai rasa mahukan ilmu dan tidak mudah merasa malu, mereka-mereka ini akan sentiasa sedia membantu.

mengenai sama ada boleh menyambung ke jurusan farmasi untuk peringkat ijazah nanti, maaf, jujur saya kurang pasti. tetapi setakat ini, dari apa yang saya dapat lihat, ada antara kalangan kami yang dari kursus MLT menyambung pelajaran dalam bidang perubatan, pergigian, mikrobiologi, dan juga perakaunan. jadi, insyaAllah, saya rasa peluang itu ada. nasihat saya, jangan lepaskan peluang yang mendatang. ukhti cuba apply dahulu kursus yang pakcik ukhti cadangkan. apabila telah mula merasa kehidupan dalam bidang MLT, jika ukhti rasa kurang sesuai, apabila penawaran kursus di uitm di buka, ukhti bolehlah cuba untuk memohon ke kursus farmasi.

akhir kata, semoga ukhti berjaya menemukan apa yang ukhti cita-citakan. banyakkan berdoa memohon petunjuk dari Allah ye. Assalamualaikum.

Anonymous said...

assalamualaikum..saya nak tanya,klu lepasan diploma teknologi makmal perubatan ni,kite mmg boleh ambil medic UiTM kan?

Al-Dzulfiqar said...

Waalaikumsalam.. boleh,tp result kena strong,n kna compete between lepasan dip microb,dip sains n stpm.

Miss Leo + Gemini said...

Assalamualaikum. Diploma teknologi makmal perubatan ni ada ditawarkan di uitm mana ye?

Miss Leo + Gemini said...

Assalamualaikum. diploma teknologi makmal perubatan ni ada ditawarkan di uitm mana ye?

Al-Dzulfiqar said...

Waalaikumsalam miss leo gemini. Dmlt ade ditawarkn di uitm penang dan uitm puncak alam