Assalamualaikum warahmatullah..
Alhamdulillah, warga muslim di Bangalore yang baru memulakan hari pertama ramadhan pada 2 ogos 2011 telah menamatkan hari pertama berpuasa. Saya yakin di Malaysia telah pun tamat 2 ramadhan semalam. Alhamdulillah, puasa tahun ini tiada banyak bezanya berbanding tahun lepas. Cuma mungkin sedikit sibuk barangkali kali ini. Usai solat subuh, saya ingin berehat sebentar tetapi ternyata hingga terlelap dan bangkit sedikit lambat untuk ke kelas Community Medicine di pagi hari. Alhamdulillah, Allah masih mengizinkan untuk tiba di kelas sebelum pensyarah masuk. Kelas kali ini membincangkan mengenai pemakanan, dan kami belajar bagaimana untuk merancang diet seimbang untuk pesakit yang bakal datang kepada kami di masa hadapan kelak. Tamat kelas, saya dan rakan serumah bercadang untuk menemui Mr Chandru, untuk membincangkan perihal kami ingin berpindah keluar dari rumah kolej, tetapi malangnya beliau bercuti. Maka kami pulang ke rumah dan berehat sebentar, sebelum kembali keluar pada sekitar jam 12.45 tengah hari untuk mengikuti kelas teori di hospital.
Tiga kelas yang ada dalam jadual hari ini adalah surgery, obstetric & gynaecology dan juga Otorhinolaryngology(ENT). Kelas surgery membincangkan mengenai keadaan thyroiditis, iaitu inflamasi pada kelenjar thyroid, O&G membincangkan mengenai HIV dan kehamilan, manakala kelas ENT membincangkan prosedur endoscopy. Setelah tamat kelas, saya dan rakan serumah sengaja mengelilingi kawasan rumah yang akan kami duduki nanti. Menarik, rupa-rupanya banyak kawasan yang belum kami tahu biarpun telah hampir 3 tahun menetap di Bangalore ini. Alhamdulillah, elaun juga telah masuk. Keadaan kadar tukaran matawang USD yang tiba-tiba naik telah memaksa bank kami untuk release elaun kami yang biasanya di kawal oleh bank untuk menunggu saat kadar tukaran paling rendah. Alhamdulillah, rezeki Allah, hari pertama ramadhan kami berbuka di restoran McDonald's. Dalam perjalanan pulang selepas berbuka, kami singgah di kedai buku Ganesh dan memesan 2 buku yang di rasakan akan bermanfaat dalam tahun ke 3 pengajian ini.
Alhamdulillah, Allah memberikan kesempatan untuk saya menyertai lagi solat terawikh pada malam ini. Nampaknya, bilangan jemaah kali ini telah sedikit surut berbanding malam pertama solat terawikh. Berdasarkan pemerhatian saya, lebih kurang 2 saf telah "hilang" di bahagian lelaki, yang secara kasar perangkaan saya, mungkin merangkumi kehilangan 20% dari jemaah lelaki pada malam pertama. Untuk jemaah muslimah, alhamdulillah, di khabarkan jemaah bersempit-sempit kerana ramainya bilangan muslimah yang menyertai solat terawikh. Alhamdulillah. Ini merupakan antara langkah-langkah asas ke arah pembinaan jati diri muslim sejati dalam diri muslimah.=) Di harap muslimin juga akan turut mengambil peluang yang tersedia dalam madrasah ramadhan kali ini untuk memperkukuhkan jati diri muslim dalam diri mereka, insyaAllah.
Baiklah, mohon diri dahulu. Saya ingin menunaikan solat subuh dan mungkin meluangkan sedikit masa untuk membaca peringatan Allah di dalam Al-Quran. Jumpa lagi dalam titipan diari yang seterusnya, insyaAllah.
Al-Dzulfiqar, 1 Ramadhan 1432 hijriah.
(p/s: mungkinkah ramadhan kali ini antara ramadhan terakhir saya berpuasa berseorangan? sesungguhnya kenyataan itu hanya Allah yang mengetahuinya.^^ )
Sekadar coretan seorang hamba.
Semoga rahmat dan perlindungan Allah mengiringi setiap jejak langkahan kita, insyaAllah.
Wassalam.
No comments:
Post a Comment