25 March 2011

Bukti Kebenaran Kitab Al-Quran(Siri 3)

Assalamualaikum warahmatullah,
Sahabat-sahabat ikhwah, akhwat yang saya sayangi sekalian. Alhamdulillah, bersyukur kita pada Allah kerana dengan keizinannya dapat kita bertemu lagi di blog Al-Dzulfiqar ini.

Sudah terlalu lama blog ini tidak di update, bersesuaian dengan saya menghadapi peperiksaan akhir tahun ke 2 MBBS ini. Alhamdulillah, segala puji dan syukur pada Allah, di atas limpah dan rahmatnya, setelah berusaha berhempas pulas bersengkang mata dengan kekuatan dan kerahmatan yang DIA kurniakan, saya di beritakan bahawa saya telah lulus dalam semua subjek tahun ke 2 dan insyaAllah akan memulakan tahun ke 3 pada bulan April ini. Terima kasih pada sahabat-sahabat semua yang mendoakan di permudahkan jalan saya ini.=)

InsyaAllah, hari ini saya akan menyambung lagi pembicaraan mengenai bukti kebenaran kitab Al-Quran yang saya terjemahkan dari buku karangan Dr Zakir Naik; The Qur'an and modern science: compatible or incompatible?

Bahagian 1 sila klik: ( Bukti kebenaran kitab Al-Qur'an Siri 1)
Bahagian 2 sila klik: ( Bukti kebenaran kitab Al-Qur'an Siri 2)

Geologi
Gunung-ganang merupakan pasak-pasak pada muka bumi.




Di dalam bidang geologi, fenomena "lipatan kerak bumi"(sila rujuk buku geografi tingkatan 3 mengenai pembentukan gunung-ganang) merupakan antara fakta yang baru-baru ini di temui. Proses lipatan kerak bumi ini adalah fenomena yang menyebabkan terbentuknya gunung-ganang. Kerak bumi, adalah seperti perisai yang padu, tatkala bahagian yang lebih dalam adalah terlalu panas dan membentuk cecair, yang tidak sesuai untuk sebarang bentuk kehidupan. Di nyatakan juga bahawa kestabilan gunung ganang adalah berpunca dari fenomena lipatan ini, yang menjadi asas yang menyokong tapak gunung-ganang ini.



Ahli geologi menyatakan bahawa ukuran jejari planet Bumi adalah sekitar 3750 batu dan kerak bumi adalah sangat nipis, berukuran sekitar 1-30batu. Lantaran ketebalan kerak bumi yang nipis itu, terdapat kemungkinan yang besar untuk gegaran berlaku. Gunung-ganang bertindak sebagai pasak yang memegang atau menetapkan kedudukan kerak bumi dan memberikannya kestabilan. Al-Qur'an telah menyebut secara langsung mengenai perkara di atas:



Mafhumnya: (Mengapa kamu ragu-ragukan kekuasaan Kami menghidupkan semula orang-orang yang telah mati?) Bukankah Kami telah menjadikan bumi (terbentang luas) sebagai hamparan? Dan gunung-ganang sebagai pancang pasaknya? (An-Naba', 6-7)
Perkataan awtad membawa maksud pasak atau pancang, (yang kebiasaannya di gunakan sebagai pacak untuk khemah), yang menjadi asas kukuh proses lipatan bumi.



Al-Qur'an turut menyatakan secara jelas fungsi gunung-ganang yang menghalang bumi dari bergegar:
Dan Kami telah menjadikan di bumi gunung-ganang yang menetapnya, supaya bumi itu tidak menggegar mereka; dan Kami jadikan padanya celah-celah sebagai jalan-jalan lalu-lalang, supaya mereka dapat sampai kepada mencapai keperluan rohani dan jasmani. (Al-Anbiyaa,31)

Pernyataan di dalam Al-Qur'an yang telah di turunkan 1400 tahun dahulu sangat bertepatan dengan data geologi moden yang tidaklah terlalu lama ditemukan.



ILMU KAJI LAUT
AIR YANG MASIN DAN TAWAR ITU TERPISAH

Telah di sebutkan di dalam Al-Qur'an:


Ia biarkan air dua laut (yang masin dan yang tawar) mengalir, sedang keduanya pula bertemu; Di antara keduanya ada penyekat yang memisahkannya, masing-masing tidak melampaui sempadannya (Surah Ar-Rahman, 19-20)

Perkataan Arab "Barzakh" bermaksud suatu pemisah atau pendinding. Pendinding ini bukanlah suatu pemisah yang fizikal. Perkataan "Maraja" secara literalnya bermaksud "keduanya bertemu dan bersatu di antaranya. Pada awalnya, para pentafsir Al-Qur'an sukar untuk menjelaskan mengenai 2 maksud yang bertentangan untuk dua air yang berbeza itu; mereka bertemu dan bersatu, dan pada masa yang sama mereka adalah terpisah. Sains telah menemukan di mana dua laut bertemu, terdapat suatu pemisah yang memisahkan mereka. Pemisah ini mengasingkan dua laut ini hingga keduanya memiliki suhu, ketumpatan dan kemasinan yang tersendiri. Terdapat satu pemisah yang tidak dapat dilihat di antara dua air dari dua laut ini yang membenarkan air dari satu laut mengalir di antara mereka.

Walaupun begitu, apabila air dari satu laut bersatu dengan yang lainnya, ia hilang sifat yang membezakannya dan menjadi seperti air yang bersatu dengannya itu. Dapat dilihat bahawa pemisah ini turut menjadi satu media untuk perubahan sifat air dari satu sungai itu kepada yang lainnya.

Al-Qur'an menyatakan:




Atau siapakah yang telah menjadikan bumi tempat penetapan dan telah menjadikan sungai-sungai di antara bahagian-bahagiannya dan telah menjadikan untuknya gunung-ganang yang menetapnya; dan juga telah menjadikan di antara dua laut (yang masin dan yang tawar) sekatan (semula jadi) yang memisahnya? Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah? (Tidak!) bahkan kebanyakan mereka (yang musyrik itu) tidak mengetahui. (An-Naml,61)

Fenomena ini dapat dilihat terjadi di beberapa tempat, termasuklah pemisah di antara laut Mediterranean dan lautan Atlantik di Gibraltar.

Tetapi, apabila Al-Qur'an menyatakan mengenai pemisah di antara air tawar dan air masin, ia turut menyatakan mengenai kewujudan "bahagian penghalang" bersama-sama pemisah itu.


Dan Dia lah Tuhan yang telah mengalirkan dua laut berdampingan, yang satu tawar lagi memuaskan dahaga, dan yang satu lagi masin lagi pahit; serta Ia menjadikan antara kedua-dua laut itu sempadan dan sekatan yang menyekat percampuran keduanya.(Al-Furqan, 53)




Sains moden telah menemui bahawa di estuari, di mana air masin dan air tawar bertemu, keadaannya adalah berbeza jika di bandingkan dengan dua laut yang bertemu. Di temukan bahawa apa yang membezakan pertemuan air ini adalah kewujudan "pycnocline zone", di mana terdapat ketumpatan yang berbeza yang memisahkan dua air itu. Zon pemisahan ini memiliki tahap kandungan garam yang berbeza jika di bandingkan dengan air tawar dan air masin yang di pisahkannya itu.



KEGELAPAN DI DASAR LAUTAN




Profesor Durga Rao ,merupakan seorang pakar dalam bidang geologi marin dan merupakan seorang professor di Universiti Raja Abdul Aziz di Jeddah. Beliau telah diminta untuk memberi pendapat mengenai ayat di bawah:



Atau (orang-orang kafir itu keadaannya) adalah umpama keadaan (orang yang di dalam) gelap-gelita di lautan yang dalam, yang diliputi oleh ombak bertindih ombak; di sebelah atasnya pula awan tebal (demikianlah keadaannya) gelap-gelita berlapis-lapis - apabila orang itu mengeluarkan tangannya, ia tidak dapat melihatnya sama sekali. Dan (ingatlah) sesiapa yang tidak dijadikan Allah menurut undang-undang peraturanNya mendapat cahaya (hidayah petunjuk) maka ia tidak akan beroleh sebarang cahaya (yang akan memandunya ke jalan yang benar). (An-Nuur, 40)

Prof. Rao mengatakan bahawa baru sekarang saintis dapat mengesahkan, dengan bantuan dari peralatan moden bahawa wujudnya kegelapan di dasar lautan. Manusia tidak mampu untuk menyelam tanpa penunjuk di dalam air lebih dari 30 meter, dan tidak mampu untuk terus hidup di dalam lautan sedalam 200 meter. Ayat di atas ini tidak merujuk kepada semua lautan, kerana tidak semua lautan mempunyai lapisan kegelapan yang berlapis-lapis. Ia merujuk secara spesifik mengenai lautan yang dalam, sebagaimana Al-Qur'an telah menyatakan 'gelap gelita di lautan yang dalam'. Kegelapan berlapis-lapis ini di sebabkan oleh 2 perkara:

1) Cahaya terdiri dari tujuh spektrum warna, iaitu ungu, indigo, biru, hijau, kuning,oren dan merah. Cahaya mengalami pemisahan apabila ia melalui air. 15 meter pertama menyerap warna merah. Oleh itu, jika seorang penyelam menyelam melebihi 25 meter dan mengalami kecederaan, dia tidak akan mamp melihat warna merah darahnya, kerana warna merah tidak sampai pada kedalaman ini. Cahaya jingga di serap pada kedalaman 30-50 meter, kuning 50-100 meter, hijau pada 100-200 meter,biru mencapai 200 meter dan indigo dan ungu melebihi 200 meter. Di sebabkan oleh kegagalan cahaya untuk menembusi air pada kedalaman berbeza, maka terwujudlah laut dangan lapisan kegelapan, semakin gelap apabila semakin jauh kedalamannya, dan semakin tidak mampu di capai oleh cahaya.

2)Cahaya matahari di serap oleh awan yang kemudiannya menyerakkan cahaya itu mewujudkan lapisan kegelapan di bawah awan. Ini merupakan lapisan pertama kegelapan. Apabila cahaya tiba di permukaan air, ia dipantulkan oleh permukaan yang berombak, yang memberikan gambaran yang berkilauan. Maka permukaan laut yang memantulkan cahaya dan menyebabkan kegelapan di dasarnya. Cahaya yang tidak dipantulkan menembusi kedalaman laut. Ini menjadikan laut terdiri dari dua bahagian, permukaan yang cerah dan dasar yang gelap.

Al-Qur'an telah menjelaskan mengenai sifat laut ini lebih awal dari penemuan manusia. Maka, dari manakah mungkin datangnya Al-Qur'an ini?



BIOLOGI
SETIAP HIDUPAN TERBUAT DARI AIR





Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang satu), lalu Kami pisahkan antara keduanya? Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup? Maka mengapa mereka tidak mahu beriman? (Al-Anbiya', 30)




Hanya setelah penemuan dari kajian sains, kita mengetahui bahawa sitoplasma, kandungan asas setiap cell terdiri dari 80% air. Kajian moden juga telah mendedahkan bahawa kebanyakan hidupan terdiri dari 80-90% air dan setiap hidupan itu memerlukan air untuk meneruskan kemandiriannya.

Ayat berikut menjelaskan penciptaan haiwan dari air:


Dan Allah menciptakan tiap-tiap haiwan yang bergerak itu dari air; maka sebahagian di antara mereka menjalar atas perutnya, dan sebahagian di antaranya berjalan dengan dua kaki, dan sebahagian lagi berjalan dengan empat kaki. Allah menciptakan apa sahaja yang Ia kehendaki (selain dari yang tersebut), kerana sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (An-Nuur,45)



Dan penciptaan manusia turut di nyatakan di dalam Al-Quran:


Dan Dia lah Tuhan yang menciptakan manusia dari air, lalu dijadikannya (mempunyai) titisan baka dan penalian keluarga (persemendaan); dan sememangnya tuhanmu berkuasa (menciptakan apa jua yang dikehendakiNya). (Al-Furqan, 54)

Adakah mungkin untuk seorang manusia yang hidup 1400 tahun yang lampau mampu untuk meneka fakta-fakta ini? Lebih-lebih lagi jika beliau hidup di kawasan berpadang pasir.



SAINS BOTANI
TUMBUHAN DI CIPTAKAN BERPASANGAN, JANTAN DAN BETINA.



Sebelumnya, manusia juga tidak mengetahui bahawa tumbuhan turut mempunyai jantinanya yang tersendiri. Kajian telah membuktikan bahawa tumbuhan terdiri dari jantan dan juga betina. Tumbuhan uniseks jua turut mempunyai organ reproduktif jantan dan betina yang berbeza untuk persenyawaan berlaku.


(Dia lah Tuhan) yang telah menjadikan bumi bagi kamu sebagai hamparan, dan Ia telah mengadakan bagi kamu padanya jalan-jalan lalu-lalang; dan Ia juga telah menurunkan hujan dari langit. Maka Kami keluarkan dengannya berjenis-jenis tanaman dan buah-buahan yang berlainan keadaannya. (Ta'ha, 53)


BUAH-BUAHAN DI CIPTAKAN BERPASANGAN, JANTAN DAN BETINA




Dan Dia lah yang menjadikan bumi terbentang luas, dan menjadikan padanya gunung-ganang (terdiri kukuh) serta sungai-sungai (yang mengalir). Dan dari tiap-tiap jenis buah-buahan, Ia jadikan padanya pasangan: dua-dua. Ia juga melindungi siang dengan malam silih berganti. Sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang (mahu) berfikir. (Ar-Ra'd, 3)

Buah adalah hasil akhir persenyawaan tumbuhan berbuah. Sebelum buah, munculnya bunga terlebih dahulu yang mempunyai organ seks jantan dan juga betina(stamens dan ovul). Setelah debunga di bawa kepada bunga, buah terhasil, yang menjadi matang lalu melepaskan biji benihnya. Buah ini menjadi bukti kewujudan jantina berbeza, sebagaiman yang dinyatakan di dalam Al-Qur'an.


SEGALA SESUATU ITU DICIPTAKAN BERPASANGAN




Dan tiap-tiap jenis Kami ciptakan berpasangan, supaya kami dan mengingati (kekuasaan kami dan mentauhidkan Kami). (Adz-Zaariyat, 49)



Ayat ini merujuk kepada selain manusia, haiwan, tumbuhan dan buah-buahan. Ia boleh juga merujuk kepada fenomena seperti cas elektrik, di mana atomnya terdiri dari pasangan, elektron dan proton yang mempunyai cas negatif dan positif.


Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan; sama ada dari yang ditumbuhkan oleh bumi, atau dari diri mereka, ataupun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya. (Yaasin, 36)





Al-Qur'an menyatakan di sini bahwa setiap sesuatu itu di ciptakan berpasangan, termasuklah perkara yang tidak di ketahui oleh manusia sekarang ini atau yang akan ditemukan di kemudian hari.





ZOOLOGI
HAIWAN DAN BEBURUNG TINGGAL BERKOMUNITI





Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan).(Al-An'am, 38)

Kajian telah menunjukkan bahawa haiwan dan burung tinggal dalam komuniti tersendiri, mereka hidup, tinggal dan bekerja bersama-sama.


KAWANAN BURUNG



Al-Qur'an menyatakan:




Tidakkah mereka memperhatikan burung-burung yang dimudahkan terbang melayang-layang di angkasa? Tiada yang menahan mereka (dari jatuh) melainkan Allah; sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi kaum yang beriman. (An-Nahl, 79)

Mesej yang sama turut di ulang di dalam Al-Qur'an di dalam ayat:



Patutkah mereka menutup mata dan tidak memerhatikan (kekuasaan Allah pada) burung-burung yang terbang di atas mereka, (siapakah yang menjaganya ketika) burung-burung itu mengembang dan menutupkan sayapnya? Tidak ada yang menahannya (daripada jatuh) melainkan (kekuasaan) Allah Yang Maha Pemurah. Sesungguhnya Ia Maha Melihat serta mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (Al-Mulk, 19)

Perkataan "amsaka" membawa maksud "meletakkan tangan, mengawal, menjaga", yang menonjolkan idea bahawa Allah mengekalkan beburung terbang di angkasa dengan kekuasaanNYA. Ayat-ayat ini menekankan pergantungan yang rapat sifat burung dengan arahan dari yang maha Pencipta.


LEBAH








Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: "Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia. Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai), serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu". (Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit). Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir. (An-Nahl, 68-69)




Von-Frisch menerima anugerah nobel pada tahun 1973 untuk kajiannya mengenai sifat dan komunikasi kumpulan lebah. Lebah, apabila menemui taman atau bunga, kembali ke sarangnya dan memberitahu lebah lain mengenai arah jalan yang tepat dan peta menuju ke arah tempat tersebut, yang dikenali sebagan 'bee dance'. Pergerakan lebah ini bertujuan menghantar maklumat di antara lebah pekerja yang telah di jelaskan secara saintifik.(rujuk Wikipedia). Al-Qur'an telah menyentuh mengenai peristiwa ini melalui ayat di atas lebah itu mencari jalan dengan ilham yang dikurniakan oleh penciptanya.

Lebah pekerja atau lebah askar adalah lebah betina. Di dalam surah An-Nahl, ayat 68-69, telah menggunakan fa'sluki dan kuli, yang merujuk kepada jantina betina, yang menunjukkan bahawa lebah yang keluar mencari makanan merupakan lebah betina. Ini telah di buktikan dengan penemuan sains moden.




SARANG LABAH-LABAH ADALAH RAPUH









Misal bandingan orang-orang yang menjadikan benda-benda yang lain dari Allah sebagai pelindung-pelindung (yang diharapkan pertolongannya) adalah seperti labah-labah yang membuat sarang (untuk menjadi tempat perlindungannya); padahal sesungguhnya sarang-sarang yang paling reput ialah sarang labah-labah, kalaulah mereka orang-orang yang berpengetahuan. (Al-Ankabut, 41)

Ayat ini menerangkan mengenai sifat fizikal sarang labah-labah sebagai lemah, reput dan rapuh.



CARA HIDUP DAN KOMUNIKASI SEMUT




Dan dihimpunkan bagi Nabi Sulaiman bala tenteranya, dari jin dan manusia serta burung; lalu mereka dijaga serta diatur keadaan dan perjalanan masing-masing. (Maralah angkatan itu) hingga apabila mereka sampai ke "Waadin-Naml", berkatalah seekor semut: "Wahai sekalian semut, masuklah ke sarang kamu masing-masing, jangan Sulaiman dan tenteranya memijak serta membinasakan kamu, sedang mereka tidak menyedari". (An-Naml, 17-18)

Di masa lampau, sesetengah orang pasti merendah-rendahkan Al-Qur'an dan menyatakan ia hanyalah sebuah kisah dongengan di mana semut berbicara di antara mereka dan menyampaikan komunikasi yang berkesan. Kajian telah membuktikan fakta mengenai cara hidup semut dan cara mereka berkomunikasi. Kajian telah menunjukkan haiwan yang mempunyai persamaan yang hampir dengan manusia dari segi cara hidup ialah semut. Ini di buktikan dari penemuan seperti:



1) Semut menanam ahli mereka yang mati, sama seperti manusia.



2)Semut mempunyai sistem yang sofistikated berkait pembahagian tugas, di mana mereka mempunyai pengurus, penyelia, pekerja dan sebagainya.
3)Kadangkala, semut akan bertemu untuk bersembang.


4)Semut mempunyai cara tersendiri untuk berkomunikasi sesama mereka.
5)Mereka mempunyai sistem pasar sendiri di mana pertukaran barang berlaku.
6)Semut menyimpan bekalan makanan untuk jangka waktu yang lama ketika musim sejuk, dan jika benih yang disimpan mulai bercambah, mereka akan memotong akarnya, seakan mereka memahami bahawa jika di biarkan tumbuh, tumbuhan itu akan layu dan mati. Jika benih yang disimpan basah terkena hujan, mereka akan menjemur dan mengeringkan di bawah sinaran matahari, dan kemudiannya membawanya masuk semula, seakan mereka memahami bahawa kelembapan akan memberikan peluang untuk akar tumbuh dan menyebabkan tumbuhan it rosak.


Sahabat-sahabat ikhwah dan akhwat yang saya sayangi sekalian,
telah terlalu banyak bukti yang ditunjukkan oleh Al-Qur'an kepada kita. Dan segala bukti itu adalah bersesuaian dengan apa yang ada di sekeliling kita sehari-hari. Namun sayang, masih ada segelintir dari umat di luar sana yang masih terus-terusan meragui agama yang suci ini meskipun telah banyak kebenaran yang di pertontonkan Allah kepada mereka. Hati mereka ini masih liat. Mereka sedar akan kebenaran Islam. Namun mereka memerlukan sedikit batu loncatan. Sedikit galakan. Maka di sinilah terletaknya tanggungjawab kita. Tanggungjawab mendakwah dan menyeru mereka ke arah Islam. Berbagai cara kita boleh lakukan. Kita boleh mulakan dengan membentuk usrah, atau menjalankan tabligh. Apa-apa jua cara yang mendekatkan kita pada saudara-saudara kita, menghilangkan rasa kekok pada diri mereka. Semoga kita semua istiqamah dalam usaha memperjuangkan agama Allah ini, insyaAllah.

InsyaAllah, buku Dr Zakir Naik ini hampir habis di terjemahkan. InsyaAllah akan ada satu lagi siri Bukti Kebenaran Kitab Al-Qur'an, yang saya yakin akan menarik minat sahabat-sahabat semua kerana bahagian yang akhir ini akan banyak menyentuh mengenai penciptaan manusia. InsyaAllah, jika masih ada umur dan kesempatan, kita akan berjumpa lagi untuk saya menghabiskan terjemahan buku karya Dr Zakir Naik ini.=) Semoga kita semua terus kekal dalam jalan Allah, insyaAllah.=)

Jumpa lagi pada penulisan akan datang, insyaAllah.
Salam mujahadah.
Ma'asalamah wa ilalliqo'.

Sekadar coretan seorang hamba.
Semoga rahmat dan perlindungan Allah mengiringi setiap jejak langkahan kita, insyaAllah.
Wassalam.



No comments: