03 August 2011

Diari Ramadhan Al-Dzulfiqar- 1 Ramadhan 1432

Assalamualaikum warahmatullah..

Alhamdulillah, warga muslim di Bangalore yang baru memulakan hari pertama ramadhan pada 2 ogos 2011 telah menamatkan hari pertama berpuasa. Saya yakin di Malaysia telah pun tamat 2 ramadhan semalam. Alhamdulillah, puasa tahun ini tiada banyak bezanya berbanding tahun lepas. Cuma mungkin sedikit sibuk barangkali kali ini. Usai solat subuh, saya ingin berehat sebentar tetapi ternyata hingga terlelap dan bangkit sedikit lambat untuk ke kelas Community Medicine di pagi hari. Alhamdulillah, Allah masih mengizinkan untuk tiba di kelas sebelum pensyarah masuk. Kelas kali ini membincangkan mengenai pemakanan, dan kami belajar bagaimana untuk merancang diet seimbang untuk pesakit yang bakal datang kepada kami di masa hadapan kelak. Tamat kelas, saya dan rakan serumah bercadang untuk menemui Mr Chandru, untuk membincangkan perihal kami ingin berpindah keluar dari rumah kolej, tetapi malangnya beliau bercuti. Maka kami pulang ke rumah dan berehat sebentar, sebelum kembali keluar pada sekitar jam 12.45 tengah hari untuk mengikuti kelas teori di hospital.

Tiga kelas yang ada dalam jadual hari ini adalah surgery, obstetric & gynaecology dan juga Otorhinolaryngology(ENT). Kelas surgery membincangkan mengenai keadaan thyroiditis, iaitu inflamasi pada kelenjar thyroid, O&G membincangkan mengenai HIV dan kehamilan, manakala kelas ENT membincangkan prosedur endoscopy. Setelah tamat kelas, saya dan rakan serumah sengaja mengelilingi kawasan rumah yang akan kami duduki nanti. Menarik, rupa-rupanya banyak kawasan yang belum kami tahu biarpun telah hampir 3 tahun menetap di Bangalore ini. Alhamdulillah, elaun juga telah masuk. Keadaan kadar tukaran matawang USD yang tiba-tiba naik telah memaksa bank kami untuk release elaun kami yang biasanya di kawal oleh bank untuk menunggu saat kadar tukaran paling rendah. Alhamdulillah, rezeki Allah, hari pertama ramadhan kami berbuka di restoran McDonald's. Dalam perjalanan pulang selepas berbuka, kami singgah di kedai buku Ganesh dan memesan 2 buku yang di rasakan akan bermanfaat dalam tahun ke 3 pengajian ini.

Alhamdulillah, Allah memberikan kesempatan untuk saya menyertai lagi solat terawikh pada malam ini. Nampaknya, bilangan jemaah kali ini telah sedikit surut berbanding malam pertama solat terawikh. Berdasarkan pemerhatian saya, lebih kurang 2 saf telah "hilang" di bahagian lelaki, yang secara kasar perangkaan saya, mungkin merangkumi kehilangan 20% dari jemaah lelaki pada malam pertama. Untuk jemaah muslimah, alhamdulillah, di khabarkan jemaah bersempit-sempit kerana ramainya bilangan muslimah yang menyertai solat terawikh. Alhamdulillah. Ini merupakan antara langkah-langkah asas ke arah pembinaan jati diri muslim sejati dalam diri muslimah.=) Di harap muslimin juga akan turut mengambil peluang yang tersedia dalam madrasah ramadhan kali ini untuk memperkukuhkan jati diri muslim dalam diri mereka, insyaAllah.

Baiklah, mohon diri dahulu. Saya ingin menunaikan solat subuh dan mungkin meluangkan sedikit masa untuk membaca peringatan Allah di dalam Al-Quran. Jumpa lagi dalam titipan diari yang seterusnya, insyaAllah.

Al-Dzulfiqar, 1 Ramadhan 1432 hijriah.
(p/s: mungkinkah ramadhan kali ini antara ramadhan terakhir saya berpuasa berseorangan? sesungguhnya kenyataan itu hanya Allah yang mengetahuinya.^^ )





Sekadar coretan seorang hamba.
Semoga rahmat dan perlindungan Allah mengiringi setiap jejak langkahan kita, insyaAllah.
Wassalam.

01 August 2011

Salam Ramadhan 1432 Hijrah

Assalamualaikum warahmatullah,

Sahabat-sahabat yang di kasihi, ikhwan dan akhwat sekalian.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang menciptakan, yang masih mengizinkan kita untuk terus bernafas dan tiba di madrasah Ramadhan.

Tidak ingin menulis panjang. Sekadar ingin menyatakan harapan saya, moga-moga ramadhan kita kali ini adalah jauh lebih baik dari ramadhan yang sebelumnya, bersesuaian dengan bilangan ramadhan yang telah kita tempuh dalam hayat kita ini.

InsyaAllah, semoga kita semua memanfaatkan sepenuhnya bulan mulia ini, dengan memperbanyakkan amalan dan ibadah kita. Marilah kita kejar ganjaran yang telah Allah janjikan pada kita yang berserakan sepanjang ramadhan ini.

Marilah juga kita memperbetulkan pengetahuan kita mengenai bulan ramadhan ini. Ya, bila menyebut ramadhan, pasti perkataan "terawikh" antara perkara paling awal yang muncul di pemikiran kita. Dan saya yakin kebanyakan antara kita pernah terbaca atau mendengar hadis fadhilat terawikh seperti:


Diriwayatkan oleh Sayyidina Ali bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda berkenaan dengan fadhilat sembahyang tarawih pada bulan Ramadhan antaranya:

· Malam Pertama: Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama seperti mana dia baru dilahirkan (mendapat keampunan dari Allah Taala).

· Malam Keempat: Mendapat pahala sebagaimana pahala orang-orang yang membaca kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.

· Malam Keenam: Allah kurniakan pahala kepadanya pahala malaikat-malaikat yang tawaf di Baitul-Ma`mur (sebanyak 70 ribu malaikat sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah akan mendoakan supaya Allah mengampuni dosa-dosa orang yang mengerjakan sembahyang tarawih pada malam ini.

· Malam Ketujuh: Seolah-olah dia dapat bertemu serta menolong Nabi Musa A.S. menentang musuh ketatnya Firaun dan Haman.

· Malam Kelapan: Allah mengurniakan pahala orang sembahyang tarawih sepertimana yang telah dikurniakan kepada Nabi Ibrahim A.S.

· Malam kesembilan: Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambanya seperti Nabi Muhammad S.A.W..

· Dan kelebihan-kelebihan seterusnya sehingga sampai kemalam yang ke-tiga puluh


Sesungguhnya, ingin saya ingatkan kepada para sahabat bahawa sesungguhnya ini merupakan HADIS PALSU, sebagaimana satu lagu HADIS PALSU yang sering kita dengar, "TUNTUTLAH ILMU SAMPAI NEGERI CHINA". HADIS PALSU yang disebarkan ini tidak wujud dalam kitab rujukan hadis-hadis sahih seperti sunan sittah mahupun kitab rujukan hadis-hadis palsu, hadis maudu'. Maka, kelihatannya bahawa ini merupakan satu hadis baru yang di cipta, dan apa tujuan sebenar di sebalik penciptaannya, hanya Allah yang tahu niat di hati pencipta hadis ini.

Marilah kita mengingati hadis yang di riwayatkan oleh perawi Bukhari dan Muslim:

Rasulullah S.A.W. telah pun memberikan amaran terhadap orang-orang yang mengadakan pendustaan atas namanya dengan ancaman yang berat sebagaimana sabdanya : Barang siapa sengaja mengadakan dusta atas namaku maka hendaklah dia menyediakan tempatnya dalam neraka. (Bukhari, Muslim)

Dan larangan ini merangkumi segala perkara, merangkumi segala jenis pendustaan yang di buat di atas nama Nabi Muhammad S.A.W. sama ada dengan maksud memberi galakan supaya rajin beramal ibadat ataupun ancaman supaya menjauhi segala larangan Allah.

InsyaAllah, semoga Allah memeliharakan kita dari tipu daya yang ada di dunia ini. Semoga rahmat dan petunjuk Allah memandu hidup kita dalam perjalanan menujuNYA, insyaAllah.

Selamat menyambut Ramadhan 1432 Hijrah.

Sahabat anda,
Ammal Dzulfiqar Bin Ismail / Al-Dzulfiqar



Sekadar coretan seorang hamba.
Semoga rahmat dan perlindungan Allah mengiringi setiap jejak langkahan kita, insyaAllah.
Wassalam.