09 February 2009

Salahuddin Al-Ayyubi....




KOTA Damsyik, ibu negara Syria, menyimpan seribu satu kisah pahlawan Islam tersohor, Salahuddin Yusuf bin Ayyub yang lebih dikenali Salahuddin al-Ayyubi.


Jika Khalid al-Walid dikenali kerana sumbangannya membebaskan Syria daripada kekejaman Byzantine, Salahuddin pula masyhur sebagai pejuang yang mempertahankan wilayah Islam daripada penjajahan tentera Salib.

Salahuddin sebenarnya bukanlah anak jati kota Damsyik. Beliau dilahirkan di Tikrit di bahagian utara Iraq pada 1138. Sumbangan paling besar beliau ialah membebaskan Palestin dan Syria daripada penjajahan tentera salib.

Kekalahan tentera Salib di tangan Salahuddin dalam pertempuran Hattin adalah kemuncak kejayaan beliau dalam kempen membebaskan bumi Islam daripada pencerobohan kuasa Barat.

Kemenangan Salahuddin pada 4 Julai 1187 itu turut membolehkan Baitulmaqdis bebas daripada penjajahan tentera Salib selama 88 tahun.

Bagi menghargai jasa dan sumbangan beliau, kerajaan Syria membina tugu pahlawan di pusat bandar Damsyik pada 1997.

Antara monumen sejarah yang dikaitkan dengan perjuangan Salahuddin ialah kota pertahanan dikenali Qal?ah Sahyun atau kota Sahyun. Pada 1957, kerajaan Syria menamakan tinggalan ini Qal?ah Salahuddin atau kota Salahuddin sempena memperingati jasanya. Kota ini terletak 24 kilometer di timur bandar Lattakia.

Salahuddin berjaya merampas kota ini daripada tentera Salib walaupun agak sukar ditembusi.

Kedudukan kota itu pada ketinggian 400 meter dari aras laut dan dikelilingi kawasan hijau dan anak-anak sungai.

Bagaimanapun, tentera dipimpin Salahuddin tetap mampu merampasnya hanya dalam masa dua hari selepas menewaskan tentera Salib yang berkubu di situ.

Catatan sejarah menunjukkan bahawa keinginan Salahuddin menentang tentera Salib membara selepas kemenangannya membebaskan Baitulmaqdis pada 1187.

Ini kerana, kejayaannya Salahuddin membebaskan Palestin mengejutkan kuasa besar Barat.

Tidak cukup dengan itu, kejayaan Salahuddin menawan hampir 50 kubu tentera Salib di antara Antiochi di utara dan Baitulmaqdis di selatan hampir melumpuhkan pertahanan musuh di rantau Asia Barat.

Ketika mengepung kota Sahyun, semangat dan keberanian terpancar yang daripada wajah setiap pejuang Islam amat menggetarkan musuh.

Laungan Allahuakbar yang menyelinap masuk ke setiap ruang kota ini menandakan bermulanya kemenangan buat umat Islam.

Meskipun berada pada kedudukan strategik, tentera Salib tidak mampu berbuat apa-apa tatkala pejuang Islam mula berkubu di luar kota ini.

Pada 26 Julai 1188, Salahuddin dan puteranya, Zahir Ghazi, membuat serangan serentak dari arah timur dan utara.

Keesokannya, tentera Salib akur dengan kekuatan tentera Islam lalu menyerah diri. Sejak tarikh itu, kota ini terus berada di tangan umat Islam hingga hari ini.

Dari 1188 hingga 1272, kota ini diletakkan dalam pentadbiran pemimpin tempatan, Sultan Nasruddin Manguwiris. Selepas itu, ia diserahkan dalam jagaan Sultan Zahir Beybars.

Sebagai pejuang kental, Salahuddin pernah berkata ?untuk menjadi umat yang berjaya, kekuatan ekonomi, politik dan ketenteraan tidak memadai. Benteng yang paling kental katanya adalah perpaduan dan kekuatan akidah?. Malah, perpaduan ummah adalah faktor penyumbang kepada kejayaan kempen pembebasan Baitulmaqdis oleh Salahuddin yang mengambil masa 13 tahun, bermula pada 1174.

Kejayaan Salahuddin membebaskan Baitulmaqdis yang juga ditawan tentera Salib pada 1099 adalah hasil keupayaan beliau menyatupadukan umat Islam di Mesir, Palestin, Syria dan Iraq.

Salahuddin meninggal dunia pada 4 Mac 1193 ketika berusia 55 tahun.

Kematiannya mengakhiri sumbangan besar pemimpin agung ini yang mula berjuang di medan perang ketika berusia 16 tahun.

Bilakah mungkin akan tiba seorang lagi Salahudin Al-Ayyubi untuk membebaskan bumi Palestin yang kita kasihi?
Ya Allah,berilah kami kekuatan untuk menegakkan kebenaran di bumi ciptaanMU ini..Amin...

No comments: