18 December 2013

post terakhir 2013

Bismillah...

Setelah sekian lama langkah terhenti, mahu tidak mahu perjalanan harus diteruskan.
InsyaAllah, dengan bermulanya tahun baru nanti, saya berkeputusan untuk terus melangkah ke depan tanpa menoleh ke belakang lagi.

Semoga Allah memberikan kekuatan.

Dan semoga blog ini kembali aktif dikemaskinikan.

Allahu musta'an.

13 November 2013

Ya Allah, tidak aku menyangka bahawa hatiku akan sebegini terluka apabila aku memutuskan untuk membuka ruang kepada perasaanku untuk sekali lagi membenarkan seseorang untuk berada dalam hati ini. Rasa kehilangan kali ini begitu kuat, terasa bagaikan tidak mampu untuk aku menanggungnya. Aku menjangka, setelah Engkau menguji aku dengan perasaan yang sama sebelum-sebelum ini, aku akan mampu menghadapi ujian perasaan yang Engkau datangkan sekali lagi. Setelah pedih paling hebat
yang aku rasai ketika kali pertama melamar seseorang 8 tahun yang lalu, Engkau telah meminjamkan aku kekuatan untuk menghadapi kesakitan ketika lamaran kedua dan ketiga ku ditolak. Sehingga aku menjadi alpa dan lupa, aku menyangka aku mampu untuk menanggung sendiri kesakitan perasaan ini jika ia melanda sekali lagi. Namun Ya Allah, setelah lamaran kali keempat ini ditolak, aku sedar aku tidak punya sedikit pun kekuatan jika Engkau tidak meminjamkan. Ujian perasaan dariMu Ya Allah, adalah sesuatu yang tidak mungkin aku akan mampu untuk hadapi bersendiri, mungkin buat selamanya Ya Allah.

Matikanlah rasa ini Ya Allah, seandainya ia memerlukan seluruh perasaanku untuk turut berkubur sama, maka aku redha Ya Allah. Tidak adil dan zalim rasanya untuk aku memaksa dia untuk menerima aku, untuk menunggu untuk satu tempoh masa, sedangkan aku tidak tahu, berapa lama lagi masa yang ada yang Kau pinjamkan untuk aku terus bernafas di bumimu. Selagi rasa itu ada, aku gusar dia tidak akan mampu mengecapi bahagia. Bahagia yang aku harapkan akan menjadi miliknya. Telah lama aku melihat Engkau mengujinya dengan derita Ya Allah. Aku sangat ingin menjadi seseorang yang mampu membahagiakan dia Ya Allah, untuk menjadi seseorang yang menghilangkan kedukaannya dan tidak membiarkan airmatanya mengalir lagi Ya Allah. Namun aku sedar Ya Allah, bahawa aku bukanlah seseorang yang terbaik untuk dirinya, dan aku juga bukanlah orang yang layak untuk mendapat seseorang sebaik dia. Aku redha jika nyawa dan kewujudanku di dunia ini harus hilang untuk menjadi galang ganti akan kebahagiaan untuk dirinya. Pinjamkanlah aku sedikit kekuatan Ya Allah, agar aku mampu untuk terus melangkah dan menyembunyikan kesakitan ini, kerana aku tidak boleh membiarkan orang lain melihatku dalam keadaan selemah ini Ya Allah, selagi Kau masih mengizinkan aku untuk bernafas di bumiMu.

Pertemukanlah dia dengan seseorang yang jauh lebih baik dari diriku, yang benar-benar mampu membuatnya mengecapi bahagia itu Ya Allah. Aku redha, biarpun bukan aku yang menjadi orang yang telah Kau takdirkan untuk dirinya.

Perkenanlah permintaan hambaMu ini, Ya Muhaimin.

11 November 2013

The Best Gift

Sometimes,
Choosing not to care anymore,
Is the best gift you can offer,
To someone whom you really care about.

Sometimes,
Choosing to let go,
Is the only logical option left,
To someone whom you think you can't live without.

Allah is the best planner.
Have faith in Him, He is writing the best life story one can ever dream of.

Ya Muqallibal qulub,
Lend me some strength that I'll never falter to my own emotions.

Hasbunallahi wa ni'mal wakil.

10 August 2013

Ya Allah, telah banyak aku merintih kepadaMu setiap malam memohon agar Kau memudahkan urusan jodohku dengan dia. Aku tidak mampu melihat selain dari kebaikan dalam dirinya, kebaikan padanya yang mampu menjadi ummu yang baik untuk bakal zuriatku yang akan aku tinggalkan jika tiba masanya Engkau memanggil aku pergi. Aku tidak meminta yang terbaik untuk diriku Ya Allah, kerana aku tahu aku bukanlah yang terbaik dan tidak layak untuk meminta pula yang terbaik, aku memohon padaMu semoga Engkau mengurniakan ummu yang terbaik untuk bakal zuriat-zuriatku.

Jika bukan dia, berilah aku petunjukMu yang nyata, dan matikanlah jiwa dan perasaanku ini terhadapnya.
Amin.

23 June 2013

15 Sya'ban 1408 - 15 Sya'ban 1434 Hijriah



Alhamdulillah, setiap tahun, saya tidak perlu memeriksa takwim Islam pun untuk mengetahui bilakah tibanya hari ulangtahun kelahiran tahun Islam saya. Pasti akan ada yang mengingatkan: apabila banyak yang membuat post-post mengenai nisfu sya'aban

Banyak hadith palsu berbanding yang sahihnya bila membicarakan perihal nisfu sya'aban. Tidak banyak hadith sahih yang membicarakan mengenai nisfu sya'aban. Tiada amalan khusus pun seperti berkumpul ramai-ramai membaca yasin 3 kali dan sebagainya pada hari ini. Bolehlah merujuk pada fatwa-fatwa ulama' seperti Dr Al-Qardhawi, Dr Maza dan yang lain-lain. Betulkanlah yang biasa, dan biasakanlah yang betul.

Apapun, bila tibanya pertengahan sya'aban ini, apa yang kita memang pasti, sudah sangat hampir kita dengan Ramadhan. Setengah bulan yang pastinya berlalu dengan pantas. Cuma tinggal 5 pusingan lagi hari-hari yang biasa kita lalui untuk tiba ke bulan yang penuh dengan maghfirah dan rahmat Allah. ( hari yang kita lalui: [semalam - hari ni - esok] x 5 = 15 hari ).

Ambillah kesempatan pada hari yang kebiasaannya di sedari oleh hampir semua orang ni. Gunakan kesempatan ini untuk semakin meningkatkan persediaan kita menjejak bulan Ramadhan. Gunakan kesempatan ini untuk dijadikan titik perubahan, penambahbaikkan diri sebelum sampai ke bulan yang dinanti-nanti setelah hampir 11 bulan berlalu pergi. Jika ada yang perlu diselesaikan, yang sebelum ini ditangguh-tangguh, selesaikanlah. Jika ada kebaikan yang sekian lama dinanti untuk dimulakan, mungkin masa ini bolehlah menjadi batu loncatan untuk membuat anjakan paradigma untuk memperbaiki kualiti diri. If you have to, start new, supaya apabila tiba ke bulan Ramadhan nanti, tiadalah tiba-tiba meningkatnya amalan mengalahkan Burj Khalifa di Dubai, dan sesudah Ramadhan berlalu, amalan jatuh mendadak mengalahkan graf ekonomi negara yang terbelengu dalam cengkaman hutang International Monetary Fund (IMF) , bagaikan Ramadhan itu sekadar waktu, just a moment. Moment comes, moment goes. But everything remains unchanged.

"mengapa ramadhan sekadar waktu
Ramadhan datang Ramadhan berlalu
Pergimu Ramadhan tiada rasa
Perihal diri ku tiada berbeza
Aku tetap sama"
(bolehlah nak nyanyi ikut rentak chorus lagu Takdir dan Waktu, kumpulan Mega -.- )

Suburkan keimanan , sirami ketakwaan, padamkan api permusuhan.
-Tuai padi antara masak, esok jangan layu-layuan, hari ini kita tergaduh tersentak , esok janganlah musuh berpanjangan.-

Jika di rezekikan kita menjejak Ramadhan, sampailah kita ke dalam bulan Ramadhan yang di tunggu-tunggu. Jika tidak di rezekikan nafas terputus sebelum sampai ke Ramadhan, semoga rahmat dan ihsan Allah bersama-sama roh kita yan dalam perjalanan menemui Tuhan.

"Allahumma barik lana fi Rajab wa Sha'ban wa ballighna Ramadan"

“Allah melihat kepada hamba-hambaNya pada malam nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci) (Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain. Al-Albani menilai sahih dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah 3/135). ( rujuk:http://drmaza.com/home/?p=1192 )

Self note: Menghampiri bulan Ramadhan, ini bermaksud, final exam saya juga semakin hampir. Mohon du'anya sahabat sekalian, moga dapat menjawab dengan baik semua soalan, teori, praktikal dan lisan, dengan sedikit ilmu yang Allah pinjamkan, dan dapat kembali pada bulan oktober ini setelah tamat pengajian, untuk berada Malaysia dan memulakan perkhidmatan. Mohon ihsan dan sedikit ingatan dari rakan-rakan, dalam setiap du'a yang kalian panjatkan.


#15 Sya'ban 1408 - 15 Sya'ban 1434 Hijriah. Entahkan masih bernafas lagi atau tidak untuk sampai ke ulangtahun kelahiran seterusnya.