05 February 2012

Salam Maulidur Rasul 1433 Hijrah

Assalamualaikum warahmatullah,

Selawat dan salam atas junjungan kita, Nabi Muhammad s.a.w, serta ahli keluarga baginda.

Sahabat-sahabat ikhwah dan akhwat yang di sayangi sekalian. Bagaimanakah semuanya? Harapnya sejahtera di dalam rahmat dan perlindungan Allah. Dan semoga amalan kita sentiasa bertambah, sesuai dengan bertambahnya usia kita hari-demi-hari, minggu-demi-minggu, bulan-demi-bulan.


Introduksi: Maulidur Rasul?




Maulid Rasulullah s.a.w. Tarikh yang saya yakin ramai dari kita tahu. Tarikh yang tercatat dalam takwim setiap tahun. Bagi pelajar-pelajar sekolah, ia bermaksud cuti. Bebas dari sekolah dan kerja rumah untuk sehari. Bagi yang bekerja, yang di fikirkan mungkin "triple pay" maknanya. Tapi, apakah makna sebenar di sebalik tarikh ini. Apakah sebenarnya yang di sambut setiap tahun ini?



Eksposisi: Mengapa sambut Maulidur Rasul?



Maulidur rasul di sambut sempena mengenang kelahiran junjungan mulia, Muhammad s.a.w. Para penulis sirah pada umumnya bersepakat bahawa Rasulullah s.a.w lahir dalam tahun gajah, sekitar tahun 570 Masihi. Rasulullah lahir di kota Mekah, di bahagian Selatan Jazirah Arab. Ayahanda baginda bernama Abdullah, yang meninggal ketika Rasulullah masih di dalam kandungan ibu baginda.

Ketika Rasulullah berumur enam tahun, ibu baginda, Aminah, membawa baginda untuk mengunjungi keluarganya serta mengunjungi makam ayah baginda. Namun dalam perjalanan pulang, ibu baginda jatuh sakit lalu meninggal dunia. Setelah ibunya meninggal, Rasulullah mendapat penjagaan dari datuk baginda, Abdul Mutallib dan kemudiannya baginda dijaga oleh bapa saudara baginda, Abu Talib.


Transformasi: Adakah tarikh ini wajar di sambut?

Sahabat yang di kasihi sekalian,

Sudah menjadi lumrah manusia, apabila tiba tarikh istimewa, pasti kita ingin melakukan sesuatu yang istimewa untuk menggembirakan someone special dalam hidup kita itu, bukan? Maka, bagi tinta Al-Dzulfiqar, tidak ada yang salah untuk meraikan tarikh keputeraan Rasulullah ini.

Kita secara umumnya bersetuju bahawa memperingati tarikh kelahiran seseorang itu merupakan cara dan tanda kita mengasihi dan menghargai seseorang itu dan kehidupannya.Menjadi kebiasaan setiap dari kita untuk meraikan hari kelahiran sendiri atau orang-orang yang kita kasihi. Selain daripada orang yang dekat dengan kita seperti isteri, suami, anak-anak, keluarga dan teman lelaki*, teman wanita*, atau teman-tapi-mesra* (*T&C applies), manusia juga sering memperingati hari kelahiran, kematian atau hari peristiwa penting dalam kehidupan orang dan tokoh yang di kagumi dan di sanjungi.

Maka tidak ada salahnya jika hari kelahiran tokoh segala tokoh, Rasul kita Muhammad s.a.w, kita peringati dan kita raikan dengan sewajarnya. Walaupun sebelum baginda ditabalkan di Gua Hira', kelahiran dan kehidupan Rasulullah sebelum itu pun sudah dipenuhi pelbagai keistimewaan.

Selain itu, kita menyambut kelahiran Rasulullah s.a.w untuk memantapkan lagi kefahaman hati dan akal kita dalam kehidupan beragama, dengan menyelusuri kisah perjalanan hidup Rasulullah.

Allah berfirman:

Dan tiap-tiap berita dari berita Rasul-Rasul itu, Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) untuk menguatkan hatimu dengannya. (Surah Hud, ayat 120)

Sahabat-sahabat yang saya kasihi, saya yakin, pastilah dalam majlis-majlis memperingati kelahiran Rasulullah s.a.w, surah, sirah dan sarirah Rasulullah merupakan antara intipati utama apa yang kita dengarkan. Di dalam majlis sambutan Maulidur Rasul, yang kebanyakannya dibawakan oleh para ustaz atau ulama yang cukup dikenali dan dihormati ilmu pengetahuannya, penghargaan terhadap kisah hidup Rasulullah s.a.w dilaksanakan dengan cara yang unik, yang mampu menggetarkan hati dan membuka akal, menyentuh nurani dengan cara yang tidak dapat dijelaskan. Maka timbullah teknik-teknik penghayatan seperti ESQ, mendengar sambil membayangkan dalam gelap dan sebagainya. Saya tidak mahu mengutarakan apa-apa pendapat mengenai kaedah-kaedah ini, tetapi apa juga cara yang boleh membawa manusia dekat kepada Allah dan Rasul, pendapat peribadi saya adalah tidak salah.

Konklusi: Cara menyambut Maulidur Rasul.


Banyak yang boleh kita lakukan untuk menunjukkan appresiasi kita dalam memperingati keputeraan Rasulullah s.a.w. Bukan sekadar membuat perarakan semata, maksud saya, perarakan itu baik, namun kita harus melihat adalah perarakan itu telah serve the purpose untuk mengingatkan khalayak mengenai sirah dan perjuangan Rasulullah untuk agama yang kita cintai ini. Jika berjaya, alhamdulillah. Jika kurang berjaya, kita harus improvise dan menambahkan lagi apa jua yang terdaya untuk menjadikan sambutan ini sesuatu yang bermakna. Mungkin kita boleh menganjurkan aktiviti seperti hafazan Al-Quran, majlis khatam Al-Quran, pertandingan atau kuiz sejarah kehidupan Rasulullah di peringkat nasional, selain dari majlis-majlis ilmu yang bermanfaat.


Kita juga harus cuba menjadikan sunnah yang di tinggalkan Rasulullah s.a.w sebagai sebahagian dari pakaian harian kita. Sunnah itu harus dilihat dari 3 perspektif:

surah
Surah merupakan sesuatu yang paling senang untuk setiap dari kita turuti. Secara mudahnya, surah adalah seperti perkara fizikal pada Rasulullah. Antara perkara yang termasuk di dalam surah adalah seperti cara Rasulullah berpakaian, bagaimana Rasulullah menyimpan janggut, dan sebagainya. InsyaAllah, ini merupakan antara yang termudah yang mampu setiap dari kita lakukan.

sirah
Sirah pula lebih kepada cara kehidupan sehari-hari Rasulullah. Setiap apa yang Rasulullah lakukan, bermula dari bangun tidur hinggalah baginda tidur semula. Antaranya adalah seperti cara Rasulullah menegur sahabat, cara Rasulullah menyampaikan dakwah, cara Rasulullah makan, cara Rasulullah bergaul, cara Rasulullah berjalan, dan sebagainya.

sarirah
Sarirah pula merupakan bagaimana cara Rasulullah berfikir, iaitu bagaimana supaya semua umat baginda dapat terselamat dari azab neraka dan masuk syurga di akhirat kelak. Ini merupakan antara perkara paling susah, tapi insyaAllah, dengan mujahadah, pasti kita akan mampu untuk cuba sebaik mungkin.

Secara asasnya, 3 perspektif inilah yang di tekankan kepada jemaah yang keluar mengikuti gerakan tabligh. Saya sendiri mempelajari 3 aspek ini ketika sama-sama keluar dengan jemaah tabligh di Masjid Seksyen 24 Shah Alam, sekitar tahun 2006 dahulu.


Refleksi


Jadi, insyaAllah sahabat-sahabat yang saya kasihi sekalian, semoga kita semua dapat membuktikan rasa cinta dan rindu kita pada Rasulullah pada perbuatan dan bukan sekadar perkataan. Rasa cinta dan rindu tanpa pembuktian, ibarat kita menyukai pada sesuatu tumbuhan, tetapi sekadar suka, tanpa bertindak memberikan air atau baja, lama-lama pastilah suka itu hanya tinggal suka, dan tumbuhan tersebut kembali kepada penciptanya.




Hidupi surah,

hayati sirah,

fahami sarirah.


Salam Maulidur Rasul dari al-dzulfiqar.blogspot.com =)


Sekadar coretan seorang hamba.

Semoga rahmat dan perlindungan Allah mengiringi setiap jejak langkahan kita, insyaAllah.

Wassalam.